Minggu, 08 Juni 2008

macam mana tokoh-tokoh pemikir filem tidak memberi respon dalam blogger ini?

puisi shafie abu bakar

SIMBOLISME DALAM ANTOLOGI PUISI “MADU ILMU” KARYA SHAFIE ABU BAKAR

OLEH:
MOHD. GHAZALI ABDULLAH
AKADEMI SENI BUDAYA DAN WARISAN KEBANGSAAN (ASWARA),
464 JALAN TUN ISMAIL,
50480 KUALA LUMPUR.

Abstrak
Simbolisme dikaitkan dengan mental dan semiotik. Semiotik tidak terbatas kepada bahasa sahaja, malah ia dikaitkan dengan makna yang tersembunyi. Dalam kertas ini simbol disebalik makna dalam puisi digunakan dalam menganalisis puisi-puisi Shafie Abu Bakar dalam antologi “Madu Ilmu”. Aspek-aspek yang dianalisis ialah simbol dalam bentuk, bahasa dan tema. Kajian simbol ini melihat kepada penggantian sesuatu objek dengan objek yang lain, perbandingan sesuatu yang konkrit dengan sesuatu yang abstrak, nilai dan kesan terhadap penciptaan dan penerimaan masyarakat sebagai wadah kehidupan harian, menambah kepentingan apa yang disimbolkan, memperlihatkan idea dan perasaan pencipta atau penyair. Fokus dalam antologi ini diberi tumpuan puisi-puisi yang berkaitan dengan ilmu. Tujuan kajian ialah melihat ilmu dengan menggunakan pendekatan simbolisme dalam puisi “Madu Ilmu”. Konsep ilmu dipilih kerana status ilmu diberi keutamaan oleh penyair. Oleh itu puisi yang dipilih untuk diperkatakan ialah puisi yang membincangkan tentang “ilmu”.




1.0 Pendahuluan

Shafie Abu Bakar, anak kelahiran Terengganu, seorang ahli akademik, ahli politik dan penyair. Beliau bermula sebagai seorang ahli akademik dengan menjawat jawatan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang pengajiannya ialah kesusasteraan Melayu dan Islam. Selama hampir 25 tahun, beliau berbakti di Universiti tersebut sehingga persaraannya pada tahun 1999. Selepas persaraannya, beliau ditawarkan untuk menjadi calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri Kajang pada tahun 2000 dan beliau memenangi kerusi tersebut, tetapi kalah pada tahun 2004 apabila kawasan Kajang dipersempadankan semula dan beliau bertanding di Kawasan Bangi, dan kalah kepada kawan rapatnya dari calon Barisan Nasional, Amran Kasimin.

Dalam dunia penulisan, beliau mulai menulis puisi sejak di sekolah menengah lagi. Tetapi keaktifan beliau bila menjejakkan kaki ke Universiti Kebangsaan Malaysia sejak 1970, iaitu sewaktu universiti tersebut mula mengambil pelajar sulungnya. Beliau merupakan salah seorang pelajar sulung dari universiti tersebut. Kegiatan penulisan puisi ini sehingga beliau menjawat jawatan tutor dan selepas itu pensyarah pada tahun 1977. Dalam bidang sastera, beliau telah melahirkan teori Takmilah, iaitu teori mengenai hubungan karya, karyawan dan Penciptanya, yang tidak boleh dipisahkan antara ciptaan dan Penciptanya iaitu Tuhan. Walaupun Shafie menggunakan pendekatan takmilah ubtuk meneliti kajian sastera, penulis tidak menggunakan pendekatan tersebut untuk mengkaji karya beliau. Penulis memilih pendekatan simbolisme bagi menganalisis karya-karya beliau yang berkaitan dengan ilmu. Pilihan ini dibuat memandangkan Shafie mengutamakan ilmu. Keutamaan itu amat jelas sehingga beliau memberi jodol antologi ini dengan “Madu Ilmu” (1999) terbitan Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Di dalam antologi ini terkumpul 142 buah puisi termasuk “Mukadimah” dan “Harummu”, yang juga ditulis dalam bentuk puisi. “Mukadimah” sebagai kata pengantar, manakala “Harummu” merupakan puisi yang diletakkan di belakang kulit buku. Puisi-puisi ini ditulis oleh beliau dari tahun 1968 hingga 1998 iaitu selama 30 tahun, satu jangka masa yang lama.

Dalam kertas ini, penulis akan mengkaji puisi-puisi dalam antologi “Madu Ilmu” ini dengan melihat simbolisme yang terkandung di dalamnya, yang sesuai dengan jodol antologi itu sendiri, mengutamakan ilmu. Simbolisme dilihat dalam konteks budaya ilmu yang digunakan dalam puisi “Madu Ilmu”. Kajian simbol ini melihat kepada penggantian sesuatu objek dengan objek yang lain, perbandingan sesuatu yang konkrit dengan sesuatu yang abstrak, nilai dan kesan terhadap penciptaan dan penerimaan masyarakat sebagai wadah kehidupan harian, menambah kepentingan apa yang disimbolkan, memperlihatkan idea dan perasaan pencipta atau penyair. Penulis hanya memilih lapan buah puisi dalam antologi ini. Pemilihan ini dibuat berdasarkan kekuatan yang ada pada puisi ini yang membincangkan persoalan tentang ilmu, sesuai dengan isu yang diperkatakan dalam kertas ini iaitu simbolisme dalam konteks ilmu.

2.0 Konsep Simbolisme

Simbol telah digunakan secara meluas dalam kehidupan manusia. Simbol atau simbolisme mempunyai perhubungan yang erat dengan manusia dan kebudayaannya. Kenyataan ini wajar memandangkan kebudayaan itu terdiri daripada gagasan, simbol dan nilai sebagai hasil karya dan perilaku manusia ((Muhammad Afandi, 1995: 1). Manusia berfikir, berperasaan dan bersikap dengan menggunakan ungkapan yang simbolis. Oleh itu pelbagai definisi telah dikemukakan terhadap perkataan simbol. Definisi yang paling umum dikemukakan oleh Needham (1954: 3) yang mengatakan bahawa simbol adalah sesuatu yang mewakili sesuatu perkara yang lain. Bagi menyokong hujah itu, beliau mengemukakan mahkota sebagai contoh, menurutnya mahkota ialah simbol kepada sistem pemerintahan beraja. Simbol atau lambang mempunyai hubungan yang erat dalam puisi. Mengikut Herman (2002: 4), hubungan lambang dalam puisi banyak digunakan iaitu penggantian suatu hal/benda dengan hal/benda lain. Ada lambang yang bersifat lokal, kedaerahan, nasional, dan ada juga yang bersifat universal. Beliau memberi contoh, bendera adalah lambang identitas negara, bersalaman lambang persahabatan, pertemuan atau perpisahan.

Simbolisme mempunyai prinsip yang berhubung rapat dengan kehidupan masyarakat kerana pengambilan simbol dalam bahasa atau objek berdasarkan sesuatu yang difahami oleh masyarakat yang diwakilinya. Simbol mewakili sesuatu makna yang lain, iaitu sebagai penggantian sesuatu objek kepada objek yang lain. Seseorang penyair dengan menggunakan diksi ia cuba membayangkan sesuatu hal yang berhubungan dengan objek tersebut. Ini termasuklah penglibatan imej yang lebih konkrit bagi melahirkan emosi dan idea yang abstrak.

Menurut Budiono (1985: 10), ungkapan yang simbolis itu merupakan ciri khas manusia, yang jelas membezakan dengan haiwan. Kerana itulah, manusia tidak pernah melihat, menemui, mengenali dunia secara langsung, tetapi mengenalinya melalui simbol. Di dalam simbol mengandungi unsur-unsur pembebasan dan perluasan pemandangan manusia terhadap apa yang nampak di alam sekelilingnya. Tujuan simbol, mengikut Whitehead (1927: 63) untuk memperbesarkan lagi kepentingan apa yang disimbolkan itu. Needham (1979: 5) berpendapat bahawa fungsi simbol juga untuk menimbul dan mempertahankan kewajipan emosi yang telah ditetapkan sebagai kepentingan dalam sesuatu komuniti. Berdasarkan pendapat-pendapat tersebut, Needham (1954: 5) merumuskan bahawa simbolisme adalah penting kerana, pertama, menandakan sesuatu yang penting dari segi sosial, dan kedua, mendorong manusia untuk mematuhi atau mengikuti nilai-nilai yang sepatutnya mereka hidup bersama.

Simbolisme, mengikut Sperber (1975: 1-5), mempunyai dua kriteria, pertama dalam bentuk mental berupa corak pemikiran masyarakat, termasuk corak kepercayaan seperti anamisme bagi masyarakat primitif yang tidak rasional lagi pada masa kini, dan kedua, simbol berupa semiotik yang tidak terbatas kepada bahasa sahaja kerana makna bahasa biasanya membawa maksud luaran yang agak terhad sedangkan makna semiotik lebih menyeluruh meliputi makna yang tersembunyi. Mengikut Safian et al. (1998: 305) bahawa dalam pengertian biasa, simbol adalah sesuatu yang berdiri sebagai dirinya sendiri di samping menyarankan atau memaknakan sesuatu yang lain.

Dalam pengertian sastera, simbol adalah kiasan yang menggabungkan nilai literal dan nilai penikmatan dengan aspek abstrak atau aspek yang menyarankan (Haron Daud, 2001: 204). Haron Daud meneruskan lagi hujahnya bahawa simbol tidak jauh bezanya dengan imej dan metafora. Perbezaan itu hanya terletak pada perulangan dan sifat “persistent” simbol. Sekiranya imej itu dibangkitkan sekali sahaja ia menjadi metafora tetapi sekiranya imej tersebut ditimbulkan berulang kali secara “persistent”, sebagai presentasi dan juga representasi, maka imej itu menjadi suatu simbol, malah mungkin menjadi sebahagian daripada satu sistem simbolik (Wellek dan Warren 1988, 315).

Dalam konteks puisi, aspek simbol atau perlambangan merupakan aspek semantik yang rapat sekali hubungannya dengan keseluruhan nilai estetika sesebuah puisi. Kebolehan seseorang penyair menggunakan lambang-lambang yang segar dan berkesan di dalam karyanya amatlah mengagumkan. Pada dasarnya simbol dan lambang adalah tanda yang hubungannya dengan objek atau sesuatu perkara ditentukan oleh peraturan masyarakat. Simbol yang abstrak biasanya lebih bersifat pribadi atau personal manakala simbol konkrit lebih bersifat umum kerana ia telah disepakati oleh masyarakat yang diwakilinya.

Simbol mempunyai nilai dan kesan tersendiri terhadap penciptaan dan penerimaan masyarakat. Dalam psikologi, Freud dan Jung menekankan simbol adalah univalent. Freud menafsirkan mimpi Leonardo da Vinci yang berdasarkan pada hieroglyphs Mesir. Jung pula menganalisis pada alam bawah sadar kolektif (Sariyati, 2001: 93). Dalam konteks ini, hubungan simbolik muncul sebagai hasil dari hubungan tanda dengan internal. Istilah internal dipakai untuk menunjuk hubungan antara signifer dan signified. Hubungan simbolik menunjuk status kemandirian tanda untuk diakui keberadaannya dan dipakai fungsinya tanpa tergantung pada hubungan dengan tanda lain. Kemandirian ini membuat tanda tersebut menduduki status simbol (St. Sunanrdi, 2002 : 55).

Pemakaian simbol diperlukan bukan hanya untuk berfikir dan untuk keindahan, tetapi juga untuk setiap perlakuan bagi mempertahankan masa lalu atau untuk masa ini, bertujuan untuk mengingat sesuatu kerana sejarah dan simbol saling berkaitan (Sariyati, 2001: 91-92). Dalam hal ini, Chadwick (1971: 2) menyatakan bahawa simbol merupakan satu perbandingan antara sesuatu yang konkrit dengan sesuatu yang abstrak. Syarat bagi perbandingan itu ialah faktor saranan. Saranan itu dikatakan sebagai satu teknik seni untuk melahirkan idea dan emosi secara tidak langsung sehingga tergambar perasaan tertentu. Perasaan ini tidak dinyatakan secara jelas tetapi dikias dan diibaratkan secara simbolis.

Dalam pendekatan semiotik, simbol merupakan satu bentuk tanda selain ikon dan indeks (Umar Junus 1989, 109). Dalam konteks puisi, simbol dikaitkan dengan diksi, iaitu pemilihan kata. Pemilihan kata itu menentukan sejauhmana simbol itu telah diapplikasikan dalam puisi. Di sini puisi yang dipilih untuk diperkatakan ialah puisi-puisi Shafie Abu Bakar dalam antologi “Madu Ilmu”. Oleh itu tujuan kajian ini ialah mencari dan menilai ilmu dalam puisi-puisi Shafie Abu Bakar dalam antolongi “Madu Ilmu” yang berkaitan dengan konsep ilmu.

3.0 Konsep Puisi

Menurut Muhamad Hj. Salleh (1988: 2-4), puisi adalah karya yang sudah mencapai taraf yang agak tinggi dalam tema, bahasa dan tekniknya sehingga ia dapat digolongkan dalam karya sastera. Manakala sajak pula lebih membawa makna sebagai karya ringan dan belum sampai pada peringkat sastera. Wordsworth yang dikutip oleh Muhammad Hj. Salleh (1988) memberi pengertian bahawa puisi adalah “perkataan terbaik dari susunan terbaik”. Walaupun perkataan yang diberi itu mudah tetapi ia mempunyai makna yang mendalam. Perkataan yang terbaik membawa makna pemilihan diksi atau perkataan yang paling baik dan bermakna, dan susunan terbaik pula membawa makna susunan dalam setiap baris, antara baris, setiap kata dalam baris, antara rangkap, dan seluruh rangkap mempunyai makna yang terbaik pula. Oleh itu, Muhammad Hj. Salleh melanjutkan hujahnya, bahawa untuk lebih teratur dalam perbincangan, puisi harus ditumpukan kepada bentuk, bahasa dan tema, kerana ketiga-tiga aspek ini adalah kekuatan yang membentuk puisi. Sebagaimana yang dirumuskan oleh Muhammad Hj. Salleh (1988: 11-12), bahawa puisi “dapatlah dianggap sebagai bentuk yang lebih kental, berentak, banyak berunsur muzik bahasa. Penggunaan bahasa dalam genre ini juga lebih padat, teliti dan kadang-kadang mendekati lagu. Temanya diambil dan diolah daripada hidup seharian tetapi dipersembahkan kepada pembaca atau pendengar dengan sudut pandangan yang agak luar biasa; dan dengan itu dapat membijaksanakan pembaca atau pendengarnya. Puisi juga mempunyai teknik-teknik tertentu.”
Bertolak dari tafsiran dan pandangan Muhammad Hj. Salleh tersebut, penulis berpegang kepada konsep bahawa puisi, walaupun mempunyai genre yang boleh dipelbagaikan seperti pantun, seloka, sajak, syair, gurindam dan sebagainya, masih beranggapan bahawa penggunaan istilah puisi itu lebih wajar untuk istilah sajak kerana itulah pada kelaziman kini perkataan puisi dipakai untuk merujuk kepada sajak. Ketepatan perkataan ini seperti yang diutarakan oleh Muham0mad Hj. Salleh dan juga S.T. Coleridge dan Wordsworth, puisi adalah merangkumi “perkataan terbaik dari susunan terbaik”. Barbette Deutsh, sebagaimana dikutip oleh Muhammad Hj. Salleh juga mengatakan bahawa puisi sebagai “seni yang menggunakan pengucapan dan lagu untuk menyingkap kenyataan-kenyataan yang dirakamkan oleh deria manusia, yang dihormati oleh perasaan, yang ditanggapi oleh akal dan yang disusun oleh imaginasi yang membentuk” (Muhammad Hj. Salleh, 1988: 4).

Hujah di atas tidak lari dari pandangan Herman (1987: 25) yang memberi definisi seperti berikut:

“Puisi adalah bentuk karya sastera yang mengungkapkan fikiran dan perasaan penyair secara imaginatif dan disusun dengan mengkonsentrasikan semua kekuatan bahasa dengan pengkonsentrasian struktur fizik dan struktur batinnya.”

Shafie dengan puisi dimaknakan puisi itu begini:

Adalah anggor jiwa dari ladang
pengalaman tertuang di dalam
piala kata bercahaya seni dan
bersifat mistri.

Ialah minuman asyik kelana
fana di gurun diri yang rindu
membawa kepada Ilahi.
(Puisi, 1999: 41)

Puisi adalah minuman jiwa berdasarkan pengalaman dengan kata yang bercahaya seni tetapi bersifat mistri. Ia menjadi minuman kepada mereka yang asyik berkelana di dalam diri yang rindu kepada Ilahi, iaitu yang mencipta. Itulah tanggapan Shafie terhadap puisi.

4.0 Konsep Ilmu dalam Konteks Islam

Konsep ilmu perlu dibincangkan dalan kertas ini terutama ilmu dalam konteks Islam kerana penyair menggunakan konsep ilmu dalam menulis kebanyakkan puisi-puisinya. Pada dasarnya ilmu berakar umbi dari kata dasar falsafah. Falsafah dalam bahasa, seperti yang dihuraikan oleh Hashim Ismail (2003: 44), berasal dari kata Yunani, iaitu ‘philos’ bermaksud cinta dan ‘sophia’ pula bermaksud pengetahuan atau hikmah. Oleh itu ahli falsafah, mengikut Hashim lagi, orang yang mencintai akan ilmu pengetahuan. Asal kata ‘hikmah’ pula berasal dari ‘tali kendali’ iaitu tali bagi mengekang kuda. Dengan itu kata ‘hikmah’ itu bermakna pengetahuan atau kebijaksaan. Orang yang berpengetahuan atau kebijaksaan itu sentiasa berhikmah dalam melakukan sesuatu tindakan atau menggunakan perkataan yang rendah tarafnya. Mengikut Hashim lagi, hikmah boleh dicapai oleh manusia dengan menggunakan alat tertentu, iaitu akal dan metode-metode berfikirnya.

Mengikut Hashim lagi, punca falsafah tentang ilmu ialah, pertama, sikap ingin bertanya, dan kedua, sikap ingin mengembangkan refleksi biasa. Tujuannya untuk mencari kebenaran kerana kebenaran itu sesuatu yang mutlak dalam ilmu. Oleh kerana ilmu berpunca dari falsafah, sebagaimana yang diutarakan oleh Syed Muhammad Naquib, yang dikutip oleh Hashim Ismail (2003: 44-45):

“Falsafah dan sains moden hanya mencuba menjelaskan ‘perspektif kebenaran’ dari zaman terjadinya kirsis kebenaran, hingga menghilangkan objektivitas kebenaran. Orang tidak dapat mengubah, menambah, atau menghiasi kebenaran sehingga ia menjadi lebih benar, dan juga tidak dapat mengurangkannya; menambah atau mengurangi kebenaran tidak akan menghasilkan kebenaran tetapi kepalsuan. Kebenaran adalah dirinya sendiri semata-mata; tidak kurang tidak lebih. Bagi setiap kebenaran, ada batas sepadan dengannya; ilmu tentang batas itu adalah kearifan atau hikmah. Dengan hikmah, setiap kebenaran mendapatkan maknanya yang tepat yang tidak mengurangi ataupun melampauinya. Ada batas kebenaran dalam setiap objek ilmu, dan setiap objek ilmu memiliki batas kebenaran yang berbeda. Diantaranya ada yang lebih dalam dan sulit ditemukan dibanding dengan yang lainnya, sehingga dalam upaya tanpa henti kita untuk menemukannya tidak ada masalah pembatasan penelitian, yang tujuannya adalah dengan dibimbing oleh hikmah, mengenali batas-batas itu. Dengan demikian ilmu yang benar adalah ilmu yang mengenal batas kebenaran dalam setiap objeknya”.

Hashim melanjutkan hujahnya bahawa datangnya hikmah bukan dari penglihatan melalui mata lahir sahaja, tetapi yang lebih penting penglihatan melalui mata batin, iaitu hati dan fikirannya yang tertuju kepada alam yang ada disekeliling kita. Hashim merumuskan bahawa banyak orang melihat, tetapi tidak memerhatikan, kerana itu Tuhan mengajak kita untuk melihat dan berfikir. Pandangan Hashim ini berdasarkan pandangan yang diutarakan oleh A. Hanafi; M.A. (1976: 12).

Ilmu pula terbahagi kepada dua klasifikasi, iaitu ilmu fardu ‘ain dan ilmu fardu kifayah. Fardu ‘ain bermaksud setiap orang Muslin yang mukhalaf, wajib ke atas setiap individu menuntut dan mempelajarinya secara mendalam kerana ilmu fardu ‘ain seperti ilmu tentang solat, ilmu tentang zakat, puasa atau lain-lain yang berkaitan dengan keperluan diri sebagai hamba Allah dan khalifahNya di muka bumi ini, tidak akan terlepas dari kewajipan ke atas diri individu itu sendiri. Lantas kerana itu sifatnya wajib ke atas diri perlu dipelajari dan diamalkan secara terus. Ilmu yang kedua ialah ilmu fardu kifayah, yang hanya perlu dipelajari dan didalami oleh satu kelompok atau individu tertentu bagi melepaskan tanggungjawab umat Muslim seluruhnya. Dalam perkataan lain, sekiranya seorang Muslin berada di suatu mukim tentang perubatan atau kedoktoran, maka seluruh mukim itu terlepas dari tanggungjawab menunaikan fardu kifayah itu. Bidang ilmu fardu kifayah ini amat luas meliputi ilmu tentang sembahyang jenazah sampai ilmu tentang mengkaji bintang dan cekerawala seluruhnya. Ilmu inilah yang memberi kita peluang dalam membina kerjaya kita seperti doktor, pensyarah, pegawai atau seumpamanya.

Bagaimanakah kita memperolehi ilmu? Mengikut kaedah Islam ilmu diperolehi melalui pembelajaran (Nadhari) dan satu lagi ialah melalui pemberian Allah (Dharuri) secara langsung kepada invididu itu sahaja (Muhammad Syukri, 1988: 5). Ilmu yang diperolehi secara pembelajaran semua orang boleh mendapatkannya asalkan ia berusaha ke arah itu secara sungguh-sungguh, dengan izin Allah, akan tetapi ilmu secara pemberian Allah kepada makhlukhNya melibatkan ilmu kebatinan kerana ilmu jenis ini, sebagai contoh, Allah berikan kepada Nabi Khaidir. Semasa Musa a.s. ingin berguru dengan Nabi Khaidir, Nabi Khaidir telah memberi beberapa syarat kepada Nabi Musa. a.s. supaya mematuhinya sebelum diterima menjadi muridnya. Pertama, jangan ditanya apa yang Nabi Khaidir hendak lakukan sebelum tamat pengajian. Kedua, patuh dengan apa yang diperintahkan. Ketiga, belajar mendengar daripada membantah. Tindakan yang dilakukan oleh Nabi Khaidir ialah menegakkan kembali rumah yang hendak runtuh. Kedua, Nabi Khaidir menenggelamkan sampan seorang pemuda. Nabi Musa melanggar peraturan gurunya Nabi Khaidir, beliau bertanya dan membantah sikap dan perlakuan yang dilakukan oleh Nabi Khaidir. Maka tamatlah perguruan Musa dengan Khaidir. Khaidir menjelaskan kepada Musa kenapa beliau menegakkan rumah orang tua yang hampir runtuh kerana di bawah rumah itu tersimpan harta anak yatim. Kenapa beliau menenggelamkan sampan kerana sampan itu digunakan untuk merompak harta orang lain (Muhammad Syukri, 1988: 34). Ini menunjukkan bahawa ilmu pemberian Allah kepada Nabi Khaidir adalah sesuatu yang luar biasa, yang tak disangka-sangka, tidak perlu dipelajari, anugerah dari Allah kepada makhlukNya yang terpilih.

Tujuan mencari ilmu dan memanfaatkan ilmu untuk mencapai mardatilah atau mendapat keredaan Allah Ta’ala. Ilmu tidak mendapat keredaan tidak akan bermakna kerana matlamat hidup manusia juga mendapat keredaan Allah Ta’ala. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita akan kembali. Kerana itulah tidak ada sesuatu apa pun yang boleh terlepasa dari kekuasaan Allah, sama ada sesuatu itu sedia nampak dilihat atau belum dilihat, sama ada telah wujud atau ia masih berada dalam hayatusabitah.

5.0 Simbolisme dalam Puisi ‘Madu Ilmu’ Shafie Abu Bakar

Shafie Abu Bakar dalam tempoh yang panjang, 30 tahun, menulis puisi yang terkumpul dalam antologi “Madu Ilmu”, bermula dari tahun 1968 dan berakhir pada tahun 1998, tercantum di dalam “Madu Ilmu” ini sebanyak 142 buah puisi. Bagi seorang penyair tentunya tempoh 30 tahun itu dengan sejumlah 142 buah puisi adalah satu jumlah yang kecil. Walaupun jumlahnya kecil, terkumpul dalam antologi ini sejambak mutiara kata yang mempunyai simbol yang dapat dikelasifikasikan ke dalam simbol-simbol yang bersifat global, nasional, lokal dan individu.

Dalam puisi yang berjodol “Madu Ilmu” (hal, 56-57), penyair melambangkan ilmu sebagai madu. Madu adalah minuman yang paling bernilai, sedap, boleh mengubati segala macam penyakit. Mengenai madu, Allah telah berfirman, yang maksudnya:

“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada Lebah: ‘Hendaklah kamu membuat sarangmu di gunung-gunung, di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah daripada segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang kamu sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang dilhamkan dan dimudahkanNya kepadamu.’ Dengan itu, akan keluarlah minuman (madu) yang berlainan warnanya dari dalam badannya yang mengandungi penawar bagi manusia daripada berbagai-bagai jenis penyakit. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”
(An-Nahl: 68-69)

Oleh itu madu boleh mengubati berbagai-bagai jenis penyakit bagi orang-orang yang berfikir. Bagi orang yang berfikir mestilah mempunyai ilmu. Tanpa ilmu tentunya akal tidak akan berfungsi kerana ilmu adalah asas dalam pemikiran, ke arah pembentukan akal kerana ilmu adalah tunggak kecerdikan, kepintaran, dan ilmulah yang menghilang segala macam kebodohan, kesepian, kepalsuan. Ilmu itu terletak di akal, di kepala, di tempat yang termulia dari segala anggota tubuh. Ahmed Lathiff (1994) telah membincangkan secara panjang lebar dalam bukunya “Madu Lebah Penawar Penyakit Zahir dan Batin” dan menerangkan khasiat dan penawar yang boleh diubati dengan menggunakan madu lebah. Maka Shafie mengaitkan ilmu sebagai madu yang manis dan boleh mengubati pelbagai penyakit tersebut. Berdasarkan Surah An-Nahl itulah mungkin Shafie menggarap puisinya yang berjodol “Madu Ilmu” ini. Sebab itulah, Shafie mengatakan:

Sepantun ilmu
setitik madu
rumusan zat alam
dari lembah gunungan
kuntum kembangan
kita yang asyik
adalah penghirup madu ilmu
pada piala akal
dari penerokaan ilmuan
peradaban temurun
terhimpun berkurun.

(hal. 56)

Walaupun sedikit ilmu itu diperolehi iaitu “sepantun ilmu” atau “setitik madu” ia merupakan “rumusan zat alam” iaitu merupakan rumusan dari segala aspek dalam disiplin keilmuan kerana ilmu berlandaskan kepada pengertian, konsep, hipotesis, teori dan amalan. Kerana itulah ilmu itu perlu diteroka sejak berabad-abad, iaitu “pada piala akal, dari penerokaan ilmuan, peradaban temurun, terhimpun berkurun”. Ilmu bukan mudah diperolehi, ia bermula sejak berkurun, diperturunkan kepada generasi demi generasi untuk mempertingkatkan martabat dan status manusia dalam masyarakat. Orang berilmu ialah orang yang tahu menggunakan ilmunya untuk kebaikan kepada masyarakat.

Bagi penyair ilmu itu adalah “madu ilmu” yang menjadi “minuman ajaib” kerana “tiap tegukan menyalakan dahaga” yang “bergandaan” pada “tiap penemuan merasakan” akan “kehilangan” walaupun “asyikpun berulangan” kerana ilmu itu “ketidakpuasan meneruskan” untuk “penerokaan”. Dalam rangkap kedua itu sebagaimana kutipan selanjutnya, Shafie mengatakan:


Madu ilmu
minuman ajaib
tiap tegukan menyalakan dahaga
bergandaan
tiap penemuan merasakan
kehilangan
asyikpun berulangan
ketidakpuasan meneruskan
penerokaan
demikian ialah pengangkat insan
di tengah jadian
paksi alam
khalifah Tuhan.
(hal. 56)

Madu yang dihasilkan oleh lebah terdapat berbagai-bagai warna sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah. Ada madu yang berwarna putih, kuning, merah dan pelbagai warna lagi berdasarkan kepada jenis-jenis tumbuhan yang dilawatinya (Ahmad Lathiff, 1994:5). Shafie menafsirkan madu itu sebagai “madu ilmu” iaitu sejenis “minuman ajaib” yang menghilangkan “dahaga” berkali-kali “bergandaan”. Malah ilmu yang diumpamakan sebagai madu, “setiap penemuan” akan “merasakan kehilangan”, kekurangan pada diri sendiri kerana betapa kayanya ilmu yang ditemui akan mengangkat martabat insan di tengah-tengah kejadian yang merupakan paksi alam, iaitu sebagai khalifah Tuhan. Asasnya manusia dijadikan di muka bumi ini dengan dua tujuan, sebagai hambaNya yang harus taat dan setia dengan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Tugas manusia sebagai hamba ditegaskan melalui firman Allah:

“... dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan yang sangat kukuh.”
(Adz Dzariyyat, 58)
Manusia sentiasa mengengkari perintah Allah, malah ada yang tidak percaya wujudnya Allah. Tetapi sayang, manusia yang engkar itu kenapa duduk, makan dan minum di bumi kepunyaan Allah? Sedangkan Allah menjadikan bumi ini untuk manusia, sebagaimana firman Allah, yang bermaksud:

“Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya), dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dari air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa) Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa.
(Al-Baqarah, 22)

Tujuan kedua, manusia sebagai khalifah di bumi, sebagai pemegang amanah, harus mentadbir dan mengurus dunia dengan sebaik-baiknya. Sebagai kahlifah di bumi manusia adalah pemimpin segala makhluk yang wujud di bumi, sama ada makhluk yang nampak atau makhluk yang tidak nampak, harus mentadbir dengan baik dan teratur, dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Persoalan tentang khalifah di bumi, Allah berfirman, yang maksudnya:

“ ... dan ingatlah ketika Tuhanmu telah berkata kepada para malaikat, sesungguhnya Aku akan menjadikan khalifah di muka bumi ...”
(Al-Baqarah, 30)

Khalifah di muka bumi itu ialah manusia kerana manusia dijadikan untuk memikul tanggungjawab itu. Sebagai memenuhi tanggungjawab, manusia dikehendaki memegang amanah Allah iaitu jangan berlaku zalim dan jangan bertindak bodoh, sebagaimana firman Allah, yang maksudnya:

“Sesungguhnya kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung ganang maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dari mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan bodoh.”
(Al Ahzab, 72)

Amanat itu, iaitu sebagai khalifah amat berat tanggungjawabnya, tetapi manusia yang mengengkari tanggungjawab itu, maka ia akan menerima akibatnya Sebab itulah Shafie mengatakan “di tengah (ke)jadian (makhluk), yang merupakan “paksi alam” dipertanggungjawabkan sebagai “khalifah Tuhan”, iaitu manusia sebagai khalifah di bumi, pemimpin bagi segala makhluk.

Shafie meneruskan lagi puisi ini dengan mengatakan:

Madu ilmu
minuman asyik
nikmat yang kita kecapi
titis lautan tak bertepi
ditimba berulang bertambah
gandaan
kita yang tergiring ke pantainya
kecil di pergigian
runduk kekaguman
pengakuan dengan kealiman
melonjak diri pada kekosongan
kerana kita selamanya tidak tahu
cuma pengasyik madu ilmu.
(hal. 56)

Orang yang menikmati ilmu dilambangkan sebagai “minuman asyik” kerana ilmu itu “titis(an) lautan tak bertepi”, walaupun “ditimba berulang” tetapi ia makin “bertambah gandaan” , sifat yang “runduk kekaguman” menjadikan kita suatu “pengakuan dengan kealiman”, sedangkan mereka yang “melonjak dengan kekosongan, kerana kita selamanya tidak tahu” cuma asyik dengan “madu ilmu”. Orang yang berilmu tentunya orang yang sentiasa tunduk dan tawaduk kepada pemberi ilmu, iaitu Allah kerana dari pemberianNyalah kita manusia memperoleh faham, kerana dengan ilmulah kita memperolehi pengetahuan, dan dengan ilmu juga kita dapat menyampaikan ilmu itu kepada orang lain. Di sinilah Shafie melambangkan ilmu itu sebagai “madu” yang manis dan memberi segala rahsia yang tersembunyi, yang kita sedari atau tidak disedari.

Lambang “madu” sifat global kerana semua bangsa mengetahui bahawa “madu” itu dapat menyembuhkan pelbagai penyakit dan ia sekaligus memberi nikmat bagi yang meminumnya. Kesedapan “madu” telah terakam dalam Al Quran sebagai maksud yang dipungut di atas itu. Begitu juga lambang “ilmu” sebagai kunci menghilangkan kejahilan dan kebodohan adalah sifatnya global, kerana untuk melakukan sesuatu perlukan ilmu tanpa ilmu hidup kita dalam kejahilan dan kebodohan. Di sini “madu” sebagai petanda dan “ilmu” sebagai penanda.

Dalam pemilihan kata, Shafie menggunakan diksi yang sesuai dengan konsep ilmu, seperti dalam puisi “Universiti”, seperti kata Shafie:

Ruang kampusnya
asas jejak injak ideal
meluaskan horizonnya
ke cakerawala ilmu
fizik dan metafiziknya.
(hal. 37)

Dalam puisi ini, persoalan fizik ialah struktur fizikal yang dinamakan “kampus”, iaitu suatu tempat yang sudah diketahui umum, pusat pengajian tinggi, tempat menjadi kebanggaan semua orang. Struktur metafiziknya ialah tempat menimba ilmu dan mengembangkan ilmu.
Puisi-puisi lain yang membincangkan tentang ilmu seperti “Mukadimah” yang menceritakan pengalaman pribadi dalam dunianya sebagai seorang pensyarah, seperti katanya:

...................................
Puisi-puisi kumpulan ini
ilham intuitif diri
tiga dekad
perjalanan menghirup madu ilmu
di kampus alma materku
terima kasih jabatan
dan teman-teman
memungkinkan penerbitan.

Madu ilmu
warna pengalaman
musafir mencari
lazat tertinggi nikmat abadi
namun semua sentuhan
cuma permukaan
ibarat butir-butir pasir
gunung tanah bumi
tak tertafsir
sebagai meluas laut dalam
tak terselam
diri hanyalah di pinggir
keagungan.

(Mukadimah: x)

Penyair, sebagai seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam tempoh tiga puluh tahun, merakamkan terima kasih kepada jabatan tersebut dan teman-teman seperjuangannya, yang sekaligus memungkinkan antologi ini dapat diterbitkan. Dalam kumpulan ini, Madu Ilmu, merupakan warna pengalaman, rencah kehidupan sebagai seorang musafir, dan dalam mencari ilmu itulah sebenar-benarnya lazat tertinggi, nikmat abadi, akan tetapi semua yang disentuh atau diperkatakan hakikatnya cuma di permukaan sahaja, ibarat butir-butir pasir dari gunung tanah bumi yang tak dapat ditafsirkan kerana luasnya sebagai laut dalam yang tidak mungkin dapat diselami kerana diri hanya di pinggir kebesaran dan keagungan Allah. Penyair menyedari bahawa sebagai manusia, dirinya ialah musafir, hidup ini sementara sahaja, di bumi Tuhan, dan dalam kehidupan yang sementara ini, walaupun mencari ilmu, tetapi hakikatnya ilmu yang diperolehi itu cuma sedikit, jika dibandingkan dengan ilmu Tuhan yang diibaratkan lautan luasnya. Itulah ibarat atau simbol yang digambarkan oleh penyair.

Shafie menggambarkan keresahannya terhadap Universiti Kebangsaan Malaysia, walaupun pada suatu masa dahulu, desakan supaya universiti ini ditubuhkan sebagai lambang kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, dengan mengadakan pelbagai desakan dan demontrasi dari Jalan Pantai Baru ke Masjid Negara. Sebelum itu, akibat dari peristiwa berdarah 13 Mei, 1969, nasionalis Melayu mendesak kepada pemerintah supaya menubuhkan segera sebuah universiti yang mendaulatkan pengajian bahasa Melayu dalam semua disiplin ilmu, termasuk perubatan dan teknologi. Atas desakan dan kesedaran pemimpin pada masa itu maka tertubuhlah Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 di Jalan Pantai sebelum dipindahkan ke kampus tetapnya di Bangi. Keberanian gologan nasionalis termasuk keberanian Abdul Rahman Yaacob sebagai Menteri Pelajaran pada masa itu walaupun mendapat ancaman dan ugutan dari kaum Cina dan India, satu perjuangan yang sesungguhnya memerlukan keberanian. Di atas keresahan itulah, Shafie berpesan:

Universiti Kebangsaan Malaysia
di tiga dekad usia remaja
dalam melangkah alaf baru
cabaran baru tetap menunggu
globalisasi multi media
percambahan IPT swasta
pengkorporatan yang dipaksa
gugatan ekonomi negara
semuanya janganlah jadi petanda
tergugatnya ideal bangsa
memencilmu ke sudut dunia
biarlah cabaran demi cabaran
di atasi kebijaksanaan demi kebijaksanaan
oleh pemimpin yang datang dan pergi
biarlah dirimu obor zaman
menyemarakkan kenyakinan
cemerlang demi cemerlang
memimpin generasi ke hadapan.

(hal. 2)

Kita tahu, pada tahun 1998, Malaysia menghadapi krisis ekonomi yang teruk, dan dalam masa yang sama kerajaan cuba mengkorporatkan universiti awam, menjadikan anak bangsa menghadapi masalah dalam menampung kos pengajian yang tentunya tinggi, tambahan pula pada masa yang sama percambahan universiti swasta begitu menakutkan kerana bahasa pengantar di universiti ini adalah bahasa Inggeris. Telah diketahui umum, sektor swasta memerlukan graduan yang boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik, malah menjadikan kedudukan bahasa Melayu makin terpinggir. Sebagai contoh, pada tahun 2002, kerajaan telah menukar bahasa pengantar sains dan matamatik dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, walaupun seribu desakan dan bantahan di hantar, kerajaan tidak memperdulikan desakan dan bantahan itu. Kepentingan pribadi pihak pemerintah lebih jelas terbayang dalam agenda politik mereka dengan memberi ruang dan peluang kepada kroni mereka mendapat tender membekalkan pemasangan komputer dan pembinaan bangunan untuk bilik komputer yang bertujuan, katanya, meningkatkan penguasaan ICT dalam pembelajaran sains dan matametik.

Seorang yang berilmu, intelektual, bertutur dengan hikmah, bernas pemikirannya, memberi manfaat hasil pengalaman dan rumusan dapatannya, dan memanusiakan ilmunya, adalah seorang “pujangga”. Seorang pujangga sentiasa gemerlap jiwanya, ada pengikut setianya dan dia memperkayakan khazanah peradaban tamadun insan, dan sentiasa menjadi kemegahan sepanjang zaman. Itulah tanggapan Shafie mengenai pujangga, seperti puisi “Pujangga” berikut:

Wibawanya
lebih dari seorang intelektual
dia menurunkan mutiara kata
tidak terhad atas logik semata
tapi teradun padanya
bernas minda
getaran hati budi
sentuhan pengalaman
rumusan dapatan
memanusiakan.

Pujangga
gemerlap jiwanya
memancarkan ikutan
dia memperkayakan
khazanah peradaban
tamadun insan
kemegahan zaman.

(hal. 10)

Bagi Shafie, ilmu itu terletak pada buku kerana buku mewariskan ilmu, dan di dalam buku terkandung inti budaya insan, tersimpan pustaka alam, menjadi guru dan teman, tetapi buku itu mesti dibaca berterusan. Shafie berbicara tentang “Buku” begini:

Wadah ilmu
resepinya dari
rahsia Tuhan
Zat alam
penerokaan insan
berulam pucuk-pucuk pengalaman
di dalam mangkuk waktu
terhidang di tengah gubahan lambang.

Telah lamalah jasmanimu dikenyangkan
imbangilah dengan makanan rohani
jangan biar kekurusan
jamulah selira akalmu
dengan hidangan intelektual
gubahan cendekia
tak menjemukan
tiap lembaran dibalikkan
adalah pembukaan jendela alam
menghayati kemanusiaan
kagum dan mengasyikkan
membangkitkan rasa cinta
turut meneroka
memberi sumbangan.

Buku
mewariskan ilmu
inti budaya insan
pusaka alam
guru dan teman
bacalah berterusan.

(hal. 33)

Buku itu merupakan wadah ilmu kerana dari bukulah mengandungi resepi dari rahsia Tuhan yang menceritakan segala zat alam yang diterokai oleh insan iaitu manusia yang, kata Shafie berulam dari pucuk-pucuk pengalaman. Pemilihan diksi seperti resepi, rahsia Tuhan, zat alam, penerokaan insan, berulam pucuk-pucuk pengalaman, di dalam mangkuk waktu, terhidang di tengah gubahan lambang mempunyai kekuatan yang tersendiri kerana diksi yang segar dan baru dalam adunan simbol memberi daya fikir dan daya rasa yang menunjukkan bahawa pengarang sentiasa prihatin dalam pengkaryaannya yang kaya dengan sumber ilmu. Buku dilambangkan dengan bacaan. Buku tanpa dibaca, tidak ada manfaat apa-apa yang akan diperolehi darinya. Orang yang bijak, yang berilmu mestilah membaca, dan bacaan yang terbaik ialah buku kerana dalam buku tersimpan khazanah ilmu. Bila seseorang mempunyai ilmu semestinya ia tidak jahil dalam bidang ilmu yang diterokainya. Malah ayat pertama yang diturunkan Allah kepada Muhammad S. a. w. ialah Iqra’ iaitu bacalah. Dari pembacaanlah manusia layak menjadi pemimpin, dan dari bacaan juga manusia boleh menafsir segala macam ilmu yang terkandung dalam penafsirannya, yang luas, yang tidak bertepi sempadannya kerana Tuhan meng anugerahkan manusia dengan akal dan akal adalah komputer yang menfasirkan ilmu, memperluaskan bidang-bidang ilmu yang terkandung di dalamnya.

Shafie melanjutkan tafsirannya, sebagaimana dalam rangkap kedua puisi “Buku” bahawa buku adalah makanan untuk rohani, dan jangan biarkan rohani itu dalam kekurusan, mestilah dijamu supaya selira akal dihidangkan menjadi intelektual. Orang-orang intelektual adalah gubahan golongan cendekiawan kerana mereka ini sentiasa mencintai ilmu dengan setiap lembaran di kertas buku mengandungi rahsia alam dan sekaligus dapat menghayati rasa kemanusiaan. Dari rasa kemanusiaan itulah akan melebarkan rasa cinta menemui segala macam ilmu baru dan akan memberi sumbangan yang amat berharga kepada manusia sejagat.


6.0 Rumusan

Ilmu bagi Shafie, simbol madu, sesuatu yang enak, nikmat, sedap dan mengasyikkan bila diminum. Bagi mereka yang mencintai ilmu dan mencari ilmu, mereka akan mendapat manfaat dalam merialisasikan kehidupan di dunia. Tanpa ilmu manusia berada dalam kegelapan dan kejahilan. Ilmulah yang menyuluh kegelapan dan kejahilan itu. Ilmu juga perlu untuk menjadi khalifah dibumi dan hamba Allah. Sebagai pemimpin, apa yang dipimpin mesti diketahui arah tujuannya. Sebagai hamba, apa yang dipatuhi mesti diketahui sebab musababnya, kalau tidak akan menemui jalan kesesatan atau ikut jalan saitan. Manusia sebagai khalifah di bumi harus berfikir dan pemikiran itu mesti menggunakan ilmu. Ilmu itulah cahaya kehidupan di dunia dan di akhirat. Begitulah pesan Shafie Abu Bakar melalui antologi “Madu Ilmu”. Penemuan dari kajian ini menunjukkan bahawa manusia menggunakan simbol untuk menyampaikan maklumat atau berhubung dengan manusia yang lain. Simbol dianggap sebagai alat komunikasi utama dalam menyampaikan sumber ilmu untuk meningkatkan kesedaran akan hakikat kejadian manusia di atas muka bumi. Dan sesungguhnya manusia melalui ilmulah membolehkan manusia menyedari bahawa dialah khlaifah di muka bumi dan sekaligus sebagai hamba Allah yang semestinya patuh dan taat dengan segala perintahNya. Manusia berada di bumi Tuhan dan berlindung di langit Tuhan, maka sewajarnya manusia harus berterima kasih kepada Tuhan, juga melalui ilmu, iaitu dilambangkan sebagai madu yang lazat dan menyegarkan. Shafie mengukuhkan konsep ilmu menurut perspektif Islam dan ilmu bagi beliau sesuatu yang melambangkan kebijaksanaan atau hikmah jua. Kebijaksanaan itu adalah hikmah, dan hikmah itu adalah ilmu, dan ilmu itu sebagai madu kepada mereka yang menghirup dan menikmati akan kelazatannya.
















Bibliografi

Al Quran Al Karim.
Ahmed Lathiff. 1994. Madu Lebah: Penawar Penyakit Zahir dan Batin. Kuala Lumpur: Darul Nu’man.
Budiono Herusatoto. 1985. Simbolisme dalam Budaya Jawa. Yogyakarta. Pt. Harindita.
Chadwick, C. 1971. Simbolism. Great Britian: Methuen & Co.
Hanafi, M. A. 1976. Pengantar Filsafat Islam. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang.

Haron Daud. 2001. Mantera Melayu: Analisis Pemikiran. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia
Hashim Ismail. 2003. Pemikiran Kaum Muda di Dalam Novel-Novel Melayu Sebelum Perang Dunia Kedua (Tesis Ph. D.), Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Herman J. Waluyo. 1987. Teori dan Apresiasi Puisi. Jakarta: Penerbit Erlangga.

Herman J. Waluyo. 2002. Apresiasi Puisi. Jakarta: Penerbit Gramedia Pustaka Umum.

Muhammad Afandi Yahya. 1995. Simbolisme dalam Seni Bina Rumah Melayu Kelantan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Haji Salleh. 1988. Pengalaman Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Syukri Salleh. 1988. Ilmu dalam Perspektif Islam. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Needham, Joseph. 1954. Science and Civization in China. Jld. 1. Cambridge: Cambridge University Press.
Othman Mohd. Yatim. 1989. Warisan Kesenian dalam Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Safian Hussain et al. 1988. Glosari Istilah Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sariyati Nadjamuddin – Tome, M. S. 2001. Simbol-Simbol dalam Ornamen Biliqu dan Paluwala dlm. Jurnal Pengajian Melayu, Jil. 11. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Shafie Abu Bakar. Madu Ilmu. 1999. Bangi: Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sperber, Dan. 1975. Rethinking Symbilisme. Cambridge: Cambridge University Press.
St. Sunardi. 2002. Semiotika Negativa. Yogyakarta: Kanal.
Syed Muhammad Naquib al Attas. 1995. Islam dan Filsafat Sains. (terj.) Saiful Muzani. Bandung: Penerbit Mizan.

Wellek, Rene dan Austin Warren. 1988. Teori Kesusasteraan (terj.) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Whitehead, A. N. 1959. Symbolism: Its Meaning and Effect. Cambridge: Cambridge University Press.

Selasa, 03 Juni 2008

pemikiran dalam filem melayu

“Pemikiran Melayu dalam Filem Malaysia Abad ke-21” *
Oleh: Mohd. Ghazali Abdullah+

Pemikiran dapat dikaitkan dengan akal yang mencernakan ilmu untuk diimplimentasikan dalam wadah yang pelbagai bagi dimanfaatkan kepada masyarakat. Persoalan pemikiran merupakan kerangka dalam pembentukan jatidiri sesebuah bangsa. Filem merupakan media yang dicetuskan dalam bentuk visual merupakan sebahagian daripada kerangka dalam membentuk pemikiran. Kerangka pemikiran dalam filem adalah cerminan yang dipaparkan dalam skrin yang diperlihatkan oleh tenaga produksi yang dikepalai pengarah, diterjemahkan dalam bentuk visual. Sejauhmanakah keupayaan pengarah dapat menterjemahkan pemikiran Melayu dalam filem merupakah fokus kepada penelitian ini. Aspek yang diberi tumpuan pemikiran dalam acuan Melayu dan Islam kerana Melayu dan Islam adalah sinonim dalam menentukan taraf kebangsaannya bagi warganegara Malaysia sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam filem, kajian mengenai pemikiran Melayu belum banyak dilakukan, maka cetusan idea untuk penelitian ini merupakan satu langkah awal yang dapat memberi sumbangan dalam kerangka untuk melahirkan karya filem seterusnya. Filem-filem yang menjadi tumpuan yang dikira dapat mewakili filem-filem Malaysia Abad ke-21 ialah Embun arahan Erma Fatima, Paloh arahan Adman Salleh, Pontianak Harum Sundal Malam arahan Shuhaimi Baba, dan Puteri Gunung Ledang arahan Saw Teong Hin. Setiap filem yang dipilih mempunyai kerangka yang jelas dalam aspek pemikiran Melayu. Ini wajar dengan tajuk penelitian ini yang memberi tumpuan pemikiran Melayu berdasarkan filem Malaysia Abad Ke-21. Tesis kajian ini melihat dan menganalisis ke atas pemikiran Melayu dalam filem Malaysia masakini. Konsep pemikiran dipilih kerana pemikiran merupakan kerangka dalam menentukan arah tuju bagi sesuatu kepribadian bangsa itu. Oleh itu kepentingan kepada kajian ini sebagai kerangka berfikir kepada pembikin filem dan penganalisis budaya bahawa slogan Filem Kita Wajah Kita sejauhmanakah telah tercapai.


*Kertas Kerja ini dibentangkan dalam “Persidangan Serantau Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu Ke-2, anjuran Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia pada 24-25 Januari 2006. Tema Persidangan: Keperkasaan dan Kelestarian akar Budaya Melayu.

+ Mohd. Ghazali Abdullah, penulis kreatif dan diskreatif, Pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Kelulusan akademik M. A. Universiti Malaya, bidang kebudayaan dan kesenian Melayu.

@Alamat: Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, 464 Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur. E-mail: a_ghaz@hotmail.com. Telefon 03-26975166, Tel. Bimbit: 012-2627329.




1.0 Mukadimah

Kertas ini dapat dibahagikan kepada dua bahagian yang penting. Bahagian pertama memberi tumpuan kepada konsep pemikiran dalam filem dengan tumpuan kepada pemikiran Melayu dalam Filem Malaysia Abad ke-21, dan bahagian kedua menganalisis pemikiran Melayu dalam Filem-filem terpilih iaitu Embun, Paloh, Pontianak Harum Sundal Malam dan Puteri Gunung Ledang. Empat buah filem ini dipilih memandangkan pencernaan pemikiran Melayu terkandung di dalamnya kerana pemaparan melalui gambaran berasas cerita yang ada hubung kait dengan sistem kepercayaan Melayu yang mendasari akal budaya, tunjang ketamadunan yang dibina melalui sejarah, metos dan legenda. Akar budaya Melayu yang berasaskan elemen-elemen tersebut sebagai pembentukan budaya tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Malah wahana pemikiran itu merangkai dalam imaginasi, fantasi dan ilusi bangsa Melayu hingga ke hari ini.

2.0 Konsep Pemikiran dalam Filem

Pemikiran merujuk kepada penggunaan akal sebagai wadah tertinggi dalam diri individu yang dicetuskan melalui pelbagai elemen hati, rasa, emosi, ilusi dan fantasi. Ia dapat diertikan sebagai satu agenda, ideologi, rancangan atau program yang bertujuan mendapatkan pelbagai pemerhatian dan pertimbangan (consideration) di samping harapan (expectation), dan pemikiran yang bersifat falsafah dan sainstifik (Kamus Inggeris-Melayu Dewan, 1992: 1716-17 dan 19). Ciri-ciri yang utama dalam konsep pemikiran ialah agenda, ideologi, falsafah dan pegangan dalam merialisasikan dalam hidup dan kehidupan. Adunan pelbagai elemen ini bertunjangkan kepada sejarah dan budaya yang diwarisi secara didikan dan pengalaman bersama dari generasi yang terdahulu. Sebagai contoh, seorang Melayu yang dididik dan diasuh oleh ibubapanya Melayu sudah tentu budaya dan sejarah ketamadunan bangsa itu dibawa bersama, walaupun di sana sini setelah mereka dewasa diadun dengan pelbagai budaya orang lain, mereka tetap berpaksi kepada akar budaya Melayu. Dalam konteks negara Malaysia, mengikut Perlembagaan Persekutuan, bangsa Melayu ditakrifkan sebagai: penduduk pribumi yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan yang menjalani tradisi dan adat-istiadat Melayu. Tetapi dari segi definisi budaya (cultural definition), Melayu itu merangkumi seluruh penduduk pribumi di Dunia Melayu iaitu penduduk serumpun tidak kira agama, bahasa, dan adat istiadat masing-masing yang diikuti oleh masing-masing kelompok serumpun tersebut. Di Malaysia penduduk pribumi dari keturunan Minang, Jawa, Aceh, Bugis, Mandailing, dll, yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan mengikuti adat istiadat Melayu, semuanya dianggap sebagai orang Melayu. Bahkan orang bukan pribumi yang berkahwin dengan orang Melayu dan memeluk agama Islam juga diterima sebagai orang Melayu. Mereka dikatakan telah masuk Melayu.

Pengertian Rumpun Melayu mengikut antropologi atau budaya yang mencantumkan Rumpun Budaya Melayu sedunia, sepertimana yang dihuraikan oleh Rais Yatim dalam kata-kata aluannya dalam buku Tamadun Rumpun Budaya Melayu karya Abdul Rahman Al-Ahmadi (2004), terbitan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Rais mengatakan bahawa, “Rumpun Budaya Melayu itu bermula dari Kepulauan Melayu hingga ke Malagasi di pantai benua Afrika disebelah barat sampai ke Kepulauan Paskah di Lautan Pasifik di timur (64 kilometer dari Amerika Selatan) ke New Zealand di sebelah selatan dan ke Taiwan serta Kepulauan Okinawa dan Hokaido di Jepun (dengan penduduk aslinya Ainu)”. Tentunya konsep bangsa Melayu dengan Rumpun Budaya Melayu mempunyai dua entiti yang berbeza. Kelangsungan Rumpun Budaya Melayu mengikut antropologi itu sukar ditentukan kepribadiannya kerana perkahwinan campur dari bangsa yang pelbagai dengan pembawakan budaya yang berlainan pula. Malah salah satu entiti bangsa itu ialah bahasanya pun tidak lagi boleh dikuasainya, tentunya sukar dipastikan kepribadian Melayu. Walau bagaimanapun kedua-dua pengertian itu diguna pakai dalam penulisan ini kerana ia dianggap saling lengkap melengkapi, mengikut konteks yang digunakan. Lagipun hubungan Melayu Nusantara paling wajar dijadikan satu bangsa dalam satu rumpun iaitu Melayu.

Bertitik tolak dari paksi Melayu Nusantara itu, maka konsep pemikiran Melayu dalam filem diambil kira untuk penelitian ini. Pemikiran yang diberi fokus dalam aspek pengarahan kerana kerja seorang pengarah menentukan kekuatan persoalan yang digarap dan diketengahkan dalam filem, dan estetiknya sebuah karya seni ditentukan garapan sinematografinya (Hamsan Nohamed, 2004:xv). Filem sebagai wadah yang menggambarkan kehidupan dan segala permasalahan yang berkaitan dengannya, tentunya memerlukan kekuatan dalaman yang dipersembahkan dalam bentuk visual yang bergerak menceritakan permasalahan kehidupan manusia.

Filem, mengikut Arsiah Sarji, Faridah Ibrahim dan Mazni Buyung (1996: 5) ialah sebagai “imej yang terhasil dalam bentuk visual bergerak yang mengandungi unsur-unsur penceritaan yang ditulis, diolah dalam bentuk dialog, visual dan bunyi, yang kemudiannya dirakamkan menggunakan kamera, diolah dengan menggunakan pelbagai kaedah teknikal dan digarap menjadi hasil karya seni, yang mempunyai pelbagai kepentingan dan matlamat untuk dipamerkan secara tayangan di panggung-panggung wayang dan televisyen”. Oleh kerana filem dihasilkan mempunyai tujuan, maka mengikut Adi Pranajaya (1993: 6 & 7) bahawa filem sudah tentu mempunyai fungsi dalam masyarakat, di samping mencerminkan dan menyatakan segi-segi yang kadang-kadang kurang jelas dalam masyarakat termasuk estetikanya. Fungsi sosial filem adalah keterlibatan dalam kehidupan sosial, ekonomi, politik, etik, kepercayaan dan lain-lain. Fungsi estetika filem adalah kehadiran karya yang dapat memberi kenikmatan dan rasa keindahan bagi masyarakat penonton. Akan tetapi kedua fungsi ini makin jauh terpisah apabila diperkatakan tentang ciri-ciri simbolisme. Umpamanya filem-filem klasik yang menceritakan tentang puteri raja, golongan bangsawan, mungkin sukar diterima sebagai cerminan masyarakat nyata, kerana dianggap cerita dongeng yang sukar wujud dalam masyarakat nyata. Akan tetapi dalam konsep simbolisme hal itu sebagai lambang, yang mempunyai tempat tersendiri, sebagai sindiran kepada golongan yang mementingkan diri dan mengagungkan keturunannya. Sebagaimana kata Boggs (1986: 28-29) simbolisme itu adalah kebenaran batiniah dalam sebuah karya.

Filem sebagai karya seni sudah tentu berhubungan secara langsung dan akrab dengan bentuk akal fikir dan akal rasa mengenai keindahan, kecantikan, keseronokan dan kesempurnaan atau estetika seperti yang dikerjakan oleh arkitektur, skuptur, lukisan, puisi, muzik dan teater (Abu Hasan Hasbullah, 2005: 30). Estetika disentuh dan dialun oleh fikiran rasional terhadap hal-hal semulajadi yang nantinya membentuk apresiasi akal fikir dan akal rasa yang tinggi sehingga menuntut manusia menyalin, menggubah dan mereka-cipta baru ke dalam bentuk dan rupa yang sesuai dengan kehendak ilham, imaginasi, perasaan dan fikiran. Penyatuan emosi-ilham-fikiran-perbuatan ini kemudiannya secara fundamental membentuk desakan ekspresi dan impresi dalam diri dan di luar diri manusia untuk bekerja dan berhubungan dengan alamiahnya. Manusia akan mencari untuk menemui jalan bagi mencapai kepuasan zahir dan batin dengan menghasilkan karya yang menghuraikan dengan penuh pengalaman dan pengetahuan berkenaan dengan alam dan kehidupannya (Halliday, F.E. 1946: 94).

Kebenaran batiniah itu tersembunyi dalam bentuk yang lahir, dalam bentuk visual yang digambarkan melalui scene sentuhan, renungan, pelukan oleh deria manusia atau gambaran alam seperti hujan, air terjun, daun yang berguguran, binatang bercengkerama atau lain-lain kias-ibarat yang tersembunyi. Seorang pengarah yang kreatif tidak akan melontarkan semua makna dalam filemnya secara mudah, secara terus-terang, kerana kerja seni yang indah itu diselitkan dalam lipatan-lipatan visual kamera yang memberi makna disebalik visual yang terpapar. Ada makna lain yang menggambarkan kekuatan dan kekreatifan kerja seni seorang pengarah.

Dalam budaya Melayu konsep moral dan etika amat dititik-beratkan. Seorang yang dianggap bermoral apabila dia dapat menjaga dirinya terhadap keluarganya, pandai bergaul dalam masyarakat, sentiasa menghormati orang yang lebih berilmu dan lebih tua, sentiasa membantu orang dalam kesusahan, mementingkan persoalan masyarakat daripada dirinya sendiri. Pemikiran-pemikiran seperti itu dianggap dalam masyarakat sebagai orang yang bermoral dan beretika. Tetapi dalam filem, pemikiran-pemikiran seperti itu tidak dipaparkan secara langsung kerana filem sebagai sebuah karya seni harus diselitkan unsur-unsur artistik. Walaupun tidak dinafikan bahawa filem sebagai sebuah budaya popular, tetapi kepopularan filem tidak seharusnya tidak ada unsur seni. Kesepaduan unsur seni dengan unsur popular bergantung kuat kepada kekreatifan seorang pengarah menggunakan visual bagi menceritakan emosi, fikiran, kehendak dan perasaan manusia melalui watak untuk disampaikan kepada penonton secara visual yang hidup dan meninggalkan kesan yang tersembunyi lagi mendalam dalam diri.

3.0 Pemikiran Melayu dalam Filem Malaysia Abad ke-21

Kajian terhadap pemikiran dalam filem Melayu tidak banyak dilakukan setakat ini. Kebanyakan kajian yang dilakukan lebih menjurus kepada persoalan perkembangan dan permasalahan yang dihadapi dalam filem-filem Melayu. Kajian dalam bentuk ini agak mendatar dan tidak menunjukkan pemikiran yang dikandung dalam filem itu sendiri. Antara kajian yang dilakukan ialah oleh Jamil Sulong (1990) dalam Kaca Permata: Memoir Seorang Pengarah, Ramli Ismail (1998) Kenangan Abadi P. Ramlee, Ahmad Sarji (1999) P. Ramlee: Erti Yang Sakti, Arsiah Sarji, Faridah Ibrahim dan Mazni Buyung (1996) dalam buku mereka Pola Pengamalan Profesionalisme dalam Industri Filem Malaysia. Cuma ada sebuah karya yang agak menarik dan mendalam dalam kajian yang dilakukan terhadap pemikiran Melayu dalam filem oleh Hamsan Mohamed (2004) Pengarahan dan Sinematografi P. Ramlee dan Hussein Haniff. Hamsan Mohamed membuat kajian tentang pemikiran Melayu berdasarkan dua buah filem arahan P. Ramlee iaitu Semerah Padi dan Antara Dua Darjat, dan filem arahan Hussein Haniff iaitu Dang Anom dan Hang Jebat. Rumusan yang dibuat oleh Hamsan Mohamed (2004: 211 – 20) mengenai pemikiran Melayu dalam filem melalui kajian tersebut, antara lain adalah seperti berikut:

Pertama, berdasarkan data dan bukti penemuan kajiannya menunjukkan P. Ramlee dan Hussien Haniff telah menguasai medium filem dengan kadar mencukupi mampu diterima sebagai dua orang tokoh terkemuka zaman 50-an dan 60-an di Singapura.

Kedua, berdasarkan aspek pengarahan, kedua-dua tokoh ini turut menguasai sinematografi yang dikaji dari sudut penguasaan ruang, melieu, abode, gerak, graphicness, dan waktu di bawah kuasa pengarahan zaman itu. Oleh itu keupayaan intelektual sebagai pengarah filem pula dapat ditinjau dan dibuktikan dengan bersandarkan teori barat dan pentafsiran falsafah Melayu.

Ketiga, kehebatan seorang pengarah dapat dinilai berdasarkan gagasan pemikiran melalui filemnya. Keupayaan mereka diukur melalui kemampuan menyampaikan isu-isu sosial, etika dan falsafah tertentu. Keupayaan P. Ramlee dalam Antara Dua Darjat adalah mengumpulkan yang universal ke dalam acuan individu dan sekali gus yang individu bertolak dari yang universal. Falsafah dan etika universal dikemukakan dalam sebuah keluarga feudal dan bertindak balas dengan pengalaman benar.

Keempat, Hussein Haniff seorang pengarah yang memiliki vision visual yang banyak kemungkinan dan cuba keluar dari zaman lazimnya. Dalam filem Dang Anom, dia mengemukakan kebangkitan rasa kecewa melalui kerjanya yang keras dan agresif dan memperlihatkan dia menemui suatu cara yang mengisi medium filem dengan memanfaatkan gerak watak dan gerak kerja kamera dalam ruang dan waktu. Medium filem bagi Hussien Haniff bukan lagi procenium bangsawan yang statik dan dibebani dialog, tetapi orientasi dan manipulasi ruang dan waktu.

Kelima, P. Ramlee dan Hussien Haniff pada zaman pertengahan sistem dua studio di Singapura (1950-an dan 60-an), telah lahir di kalangan pengarah Melayu – yang mencari pengucapan Melayu melalui medium filem – memiliki keupayaan imaginasi filemik yang menyakinkan serta berjaya meletakkan asas sinematografi yang kukuh.

Keenam, dalam aspek lakon dalam filem Semerah Padi dengan lakon P. Ramlee dan Saadiah pada scene zina dapat diketemui peristilahan jarak fizikal dan mental, voluntary dan involuntary, interplay, posturing, ethical interpretation, etnocentricism, expressive ability, exploration of mind and body, withdrawal, cue-volley, nuances of behaviors, lown of sentiment, dan exploration yang membawa rumusan, antara lain bahawa P. Ramlee mengisi lapisan dan kehalusan diri (nuances), bukan sekadar mencipta watak, tetapi memberikan perwatakan dengan nuances yang menarik.

Ketujuh, dalam aspek rekaan produksi dan pemilihan objek untuk menginteraksikan manusia dalam latar, ruang dan makna dapat menyumbangkan kepada pemahaman psikoanalogikal watak. Imej kata seperti kapal, laut, karang, ranjau yang ganas, embun di hujung rumput, dan sinar yang ganas menyatakan hubungan luar dan dalam diri terpencil Aduka. Permainan pengarahan dan sinematografi Hussien Haniff untuk mencari makna imej terhasil daripada kaedah mentafsirkan istana dan tiga imej yang kontras, iaitu istana keagungan, istana nafsu dan istana rakyat. Istana keagungan dibina dengan imej suasana dan istana rakyat dibina dengan imej kata.

4.0 Analisis Pemikiran Melayu dalam Filem Abad ke-21

Berdasarkan konsep pemikiran Melayu kertas ini meneruskan kajian ke atas pemikiran Melayu dalam filem Malaysia abad ke-21. Filem yang dipilih ialah Embun arahan Erma Fatima, Paloh arahan Adman Salleh, Pontianak Harum Sundal Malam arahan Shuhaimi Baba, dan Puteri Gunung Ledang arahan Saw Teong Hin. Karya ini dipilih atas alasan mempunyai kesinambungan budaya Melayu dalam sistem kepercayaan dan nilai tradisi iaitu mengandungi unsur-unsur metos, lagenda, sejarah dan falsafah Melayu. Sebagaimana yang dikaji oleh Taib Osman (1978) Kepercayaan Tradisional dalam Sistem Kepercayaan Orang Melayu, unsur metos, legenda dan sejarah tertanam kukuh dalam jiwa orang Melayu sehingga tradisi itu tidak begitu mudah untuk ditukar atau dihapuskan begitu sahaja. Hal ini diteruskan dalam filem-filem Abad ke-21, terutama filem-filem yang dikaji.

4.1 Embun Arahan Erma Fatima

Kisah kehidupan tiga manusia yang hidup pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu iaitu gadis bernama Embun, bersama abangnya Bayu serta kekasihnya, Leftenan Koishi. Embun yang berusia 17 tahun adalah wanita Melayu yang mempunyai semangat emansipasi dan daya juang yang tinggi. Dia bukan seperti wanita sezamannya yang asyik terperap di dapur atau banyak mengalah dalam dominasi lelaki. Seperti abangnya yang menjadi penggerak utama Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Embun berpendapat kedatangan Jepun dapat digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membebaskan Melayu dari cengkaman penjajah Inggeris dan imperialisme. Bayu adalah seorang lepasan sekolah Arab dan menjadi pengikut setia pengasas KMM, Ibrahim Yaakob serta anak asuhan Dr Burhanuddin Al-Helmy. Mereka mempercayai slogan Asia Untuk Asia dan Lingkungan Kemakmuran Asia Timur Raya yang dilaungkan pemerintah Jepun. Suatu hari, Bayu ditangkap kerana membuat perhimpunan tunjuk perasaan terhadap orang Jepun. Embun memberanikan diri untuk bertemu Jeneral Kurugawa untuk memohon dibebaskan abangnya itu. Malangnya, Embun ditangkap Leftenen Akishi dan gadis itu diperkosa secara beramai-ramai. Leftenan Koishi yang baru ditukarkan ke situ melihat kejadian perkosaan terbabit dan menyelamatkan Embun. Embun menjadi lebih sedih apabila ayahnya, Pak Harun dibunuh. Sejak kejadian itu, Embun menjadi lebih bersemangat dan menyimpan dendam terhadap tentera Jepun. Dengan bantuan Koishi, Embun bertemu Kurugawa untuk membincangkan mengenai pembebasan Bayu. Dia disyaratkan supaya bekerjasama dengan Koishi untuk memujuk orang Melayu supaya menyokong Jepun menerusi program pembangunan di Kampung Bukit, Bayan Lepas.

Persoalan kebebasan, pendidikan, dan kemudahan makanan menjadi garapan Erma Fatima dalam Embun. Liku-liku perjuangan untuk membebaskan diri dari pemerintahan Jepun yang mengambil alih dari penjajahan British, tidak seperti yang dijanjikan oleh Jepun Asia untuk Asia. Melalui Kesatuan Melayu Muda (KMM) Bayu, abang Embun, yang sebelum itu mengetuai KMM (Kesatuan Melayu Muda) di Bayan Lepas, mengepalai sebuah kumpulan berdemontrasi menuntut hak-hak orang Melayu sebagai anak jati Tanah Melayu., iaitu kebebasan, pendidikan, dan kemudahan makanan. Walaupun tuntutan itu bersifat kehendak asas dalam kehidupan, tetapi permintaan itu adalah wajar sebelum bertindak lebih jauh dalam soal-soal politik dan sosial yang tentunya lebih mencabar. Dari situ Erma memulakan ceritanya. Logline bermula apabila Bayu ditangkap, menyebabkan sekali lagi orang Melayu berkumpul dan Pak Harun (bapa Bayu) meminta sesiapa dari orang muda di kampung itu boleh menemaninya untuk berunding bagi melepaskan Bayu dari tahanan Jepun. Tidak ada seorangpun yang berani menghadapi risiko. Ini jelas, seperti suara feminis Embun, Orang Melayu kuat sangat bermesyuarat, buatnya tidak!, satu sindiran yang jelas terdapat dalam budaya orang Melayu sendiri, terlampau kerap bermesyuarat, tapi tindakan tidak sekuat dalam mesyuarat.

Begitulah Embun, setelah bapanya mati ditembak Jepun demi menyelamat maruah Melayu yang diinjak-injak Jepun, pergi cuba menyelamatkan abangnya, Bayu, di Depoh Tahanan Jepun. Tetapi apa yang berlaku disebaliknya, Embun dirogol oleh tentera Jepun, diketuai oleh Akishi diikuti tentera-tentera yang lain, memperlihatkan feminis berunsur seks. Yang lebih jelas lagi penonjolan ketampanan lelaki Akishi yang tidak berbaju duduk di atas paha Embun, lalu merogolnya. Di samping itu, pemaparan paha Embun yang putih melepak dan menghairahkan, satu gambaran bahawa wanita menjadi alat seks untuk lelaki. Dalam masa yang sama, kedatangan Lt. Koishi, menyelamatkan Embun, satu gambaran bahawa dari tentera Jepun sendiri yang bersikap baik untuk menyelamatkan maruah Jepun dengan slogan: Asia untuk orang-orang Asia. Akan tetapi, tidak semua yang baik itu dipatuhi oleh manusia kerana manusia sentiasa mempunyai kehendak yang tidak pernah selesai, kepuasannya tidak pernah berakhir, maka kerana itulah peperangan sentiasa berlaku, termasuk perang nafsu, seperti dalam Embun, yang terdapat kedua-duanya: perang demi kekuasaan dan perang demi nafsu.

Dari aspek pengarahan, Erma Fatima mengangkat martabat wanita dan menyorot dari point of view kewanitaan. Embun, walaupun pernah dirogol, bangkit pura-pura bekerjasama dengan Jepun untuk mengumpulkan orang kampung bercucuk tanam dan mengedarkan risalah Force 136, iaitu gerakan bawah tanah, berjuang untuk mencapai kemerdekaan. Embun, seolah-olah melupakan dirinya yang pernah dirogol Jepun, dengan bantuan Koishi, untuk mengalahkan tentera Jepun yang dipimpin oleh Lt Akishi. Setelah Bayu diselamatkan dengan bantuan Koishi, Bayu mengumpul anak buahnya untuk meminta kerjasama Force 136, tetapi talibarut Jepun, iaitu orang Melayu sendiri, kerana sedikit wang yang didapati sebagai upah, sanggup menghancurkan perjuangan Bayu dan kawan-kawannya yang setia.

Oleh kerana filem adalah visual, maka gambar menceritakan segala-galanya. Visual adalah bahasa filem, kerana itu apa yang dipaparkan dalam visual boleh menimbulkan pelbagai tanggapan kepada penonton. Dunia realiti dalam filem tidak semestinya sama dengan dunia realiti dalam sejarah. Pembikinan filem memerlukan teknologi visual yang canggih. Logik pada filem dari tanggapan penonton apabila disajikan dalam visual yang menyakinkan logik pada akalnya. Itulah filem, gambaran visual diadunkan dengan kesan bunyi yang menyebabkan penonton berada dalam dunia yang dimasukkan oleh filem itu. Penonton tenggelam dalam kekuatan visual, kesan bunyi dan cerita yang ditayangkan dalam filem itu. Embun tidak wujud dalam sejarah perjuangan menentang Jepun. Embun pada asalnya adalah nama ibu kepada penulis skrip iaitu Rohiman Haroon. Dalam skrip asal juga tidak ada kisah Embun dirogol kerana Embun memperjuangkan sesuatu yang suci sebagai lambang ibu penulis sendiri. Akan tetapi, untuk menimbulkan kesan visual yang lebih hebat, Erma selaku pengarah mengolah mengikut point of view kewanitaan. Embun dirogol, sebagai kebangkitan dari sudut pandangan wanita, wanita tidak mengalah dan menyerah, bangkit dengan penuh kekuatan, menyusun strategi, membangkit semangat Melayu di dalamnya. Unsur-unsur feminisme yang kuat digarap oleh Erma ke dalam Embun sebagai tokoh utama, yang akhirnya membunuh Lt. Akishi dengan menggunakan sanggul rambut, iaitu satu lambang senjata orang perempuan Melayu. Malah Koishi memberi hadiah pada malam Jumaat di pondok di tepi sawah, juga satu lambang budaya Melayu, sanggul rambut, sebagai senjata yang halus lagi beradat, alat pertahanan diri. Senjata inilah yang dibenamkan ke tengok Lt. Akishi hingga membawa maut.

Bentuk naratif walaupun mempunyai bayangan sinema dominan, akan tetapi suara feminisme dipaparkan dengan kuatnya oleh pengarah, termasuk dengan menggunakan simbol seperti bila bapa Embun dibunuh, buah tasbih berguguran, bila Embun dirogol, air perwarna bagi mencelup anyaman di tempayan tumpah, bila mayat bapa Embun diusung pulang, Embun mengamuk dan memberontak dengan menyentak daun-daun mengkuang yang kering di pondok menganyam, bila tidak ada pemimpin setelah Bayu ditangkap, hujan dan ribut melanda kampung itu. Simbol-simbol ini menunjukkan unsur-unsur feminisme berpihak kepada kebangkitan protagonis Embun. Di sini Erma berani menyuarakan emosi, pemikiran dan sikap feminis. Anggapan wanita lemah dari segi fizikal dan mental dalam faham tradisional telah dibuktikan oleh Erma melalui Embun, dengan watak Embun sendiri bangkit berjuang untuk membebaskan abangnya, Bayu, setelah pemuda-pemuda, iaitu lelaki yang dianggap mempunyai fizikal dan pemikiran tinggi, tetapi mempunyai jiwa yang kecil, penakut, pengecut, dan tidak berani bertindak untuk menyelesaikan masalah (Mohd. Ghazali Abdullah: 2004). Seperti kata Embun, Orang Melayu ni kuat sangat bermesyuarat, buatnya tidak.

Feminis dalam Embun lebih jelas apabila, Lt. Akishi dibunuh oleh Embun melalui cucuk sanggulnya, lambang senjata kewanitaan, boleh mengalahkan senapang, lambang senjata kelelakian. Walaupun kedua-duanya tumbang, termasuk Lt. Koishi, lambang kebaikan, simbol yang Erma gunakan menunjukkan bahawa yang baik dan yang jahat akhirnya tidak ada yang kekal, kerana makhluk sifatnya sementara, tidak ada. Yang baik atau yang jahat penilaiannya bukan oleh hukum alam, tapi itu adalah ketentuan yang mencipta iaitu Allah Taala. Tidak ada yang abadi selagi ia bergelar makhluk. Dia umpama embun di hujan rumput, datang sinar mentari ghaiblah ia.

4.2 Paloh Arahan Adman Salleh

Filem Paloh berasaskan sejarah, yang berlaku sekitar tahun 1944, penduduk Tanah Melayu terpaksa hidup dalam tekanan akibat berlakunya konfrontasi antara pihak tentera Jepun dengan Parti Komunis Malaya. Walaupun filem ini berasaskan sejarah, akan tetapi filem cereka bukan sejarah. Ia berbeza dengan filem genre dokumentari, yang ceritanya dipaparkan secara benar atau setepat mungkin. Filem genre cereka ialah filem yang berasaskan cerita rekaan walaupun berunsur sejarah, tidak setepat apa yang ada dalam hakikat sejarah. Kreativiti dan imaginasi seorang pengarah dituntut sepenuhnya untuk menjayakan penghasilan filemnya, dengan dibantu oleh pelakon dan krew-krew produksi. Tambahan pula, kerana sifat filem cereka sebagai sebuah karya seni, elemen sejarah itu hanya sebagai satu premis untuk sandaran sahaja. Cerita yang dipaparkan cuma berlatar belakangkan sejarah bukan cerita sejarah. Oleh itu unsur-unsur seni dalam bentuk filemik harus dipaparkan untuk memberi kekuatan dan daya tarikan kepada penonton supaya duduk dan terus menonton di panggung.

Filem ini menceritakan empat sahabat – Ahmad, Osman, Puteh dan Harun berkhidmat sebagai Polis Jepun, dan mereka turut tersepit di tengah-tengah pergolakan yang berlaku antara Tentera Jepun dan perjuangan Parti Komunis Malaya. Lazimnya sesebuah filem diwujudkan subplot mengenai percintaan antara seorang teruna dengan seorang dara. Ini dilakukan kerana penonton filem adalah terdiri daripada golongan ini. Dalam Paloh hal ini tidak diketepikan. Malah dalam Paloh percintaan itu tidak kenal batas sempadan bangsa dan agama. Sebetulnya cinta itu tidak kenal bangsa, agama dan budaya. Percintaan dalam Paloh termasuklah percintaan Ahmad dengan Siew Lan dan percintaan Puteh dengan Fatimah. Siew Lan selama ini telah diperalatkan oleh keluarganya sendiri bagi mendapatkan maklumat sulit tentera Jepun melalui Ahmad. Fatimah pula mendapat pertentangan daripada bapanya yang tidak bersetuju dengan orang Melayu sebagai Polis Jepun. Sementara itu, Osman yang bertugas sebagai perisik Jepun telah memasuki pasukan komunis untuk membalas dendam terhadap kematian bapanya yang berbangsa Cina. Segala pergolakan ini menimbulkan suasana huru-hara. Ada yang ingin merdeka dan ada yang ingin terus dijajah. Bapa Fatimah pula, atas semangat untuk mempertahankan negara tercinta, turut memasuki pasukan komunis semata-mata untuk menentang penjajah. Ini diikuti oleh Ahmad yang akhirnya bertemu semula Siew Lan apabila menyertai pasukan komunis.

Persoalan cinta dan persoalan dendam merupakan dua perkara yang bertentangan tetapi ia boleh dikaitkan antara satu dengan lain. Putus cinta, permainan kayu tiga dalam percintaan, cinta tiga segi dan pelbagai istilah-istilah yang memisahkan hubungan antara seorang perempuan dengan seorang lelaki atas dasar cinta kerana ingin memiliki antara satu dengan lain tetapi tidak kesampaian atas halangan-halangan tertentu, maka wujudlah perasaan dendam dan perasaan itu boleh mengakibatkan berlaku perasaan balas dendam. Perasaan dendam dan balas dendam sebagaimana yang dihuraikan oleh Amida Abdulhamid (2004: 1) dalam kajiannya dalam sastera Melayu, menjelaskan dendam adalah satu perasaan dari satu bentuk imosi yang dicederakan, sama ada kecederaan itu anggota tubuh badan atau pada maruahnya. Akibat kecederaan itu manusia terbabit berasa marah, malu, terhina dan dihina, teraninya, lantas dia akan cuba mendapatkan keadilan yang bersifat pribadi berlandaskan pertimbangannya sendiri terhadap orang yang mencederakanya itu. Lantas kerana itulah wujudnya perasaan dendam dan akibat daripada itu timbul pula perasaan untuk membalas dendam. Perasaan seperti ini wujud dalam filem Paloh apabila Osman memasuki Parti Komunis Malaya semata-mata bertujuan untuk membalas dendam terhadap kematian bapanya yang berbangsa Cina yang dibunuh oleh Jepun. Kemasukan Osman ke dalam Parti Komunis Malaya bukan atas dasar perjuangan, tetapi atas dasar ingin membalas dendam. Pemikiran seperti ini sudah menjadi lumrah dalam pemikiran orang Melayu, kalau maruahnya dicabar, dia akan bangkit untuk membela diri, menuntut bela atau dikenal juga membalas dendam.

Dalam persoalan cinta tanpa mengenal batas sempadan bangsa, agama dan budaya, sifatnya adalah global. Cinta adalah satu perasaan sejagat. Semua orang boleh bercinta dengan sesiapa sahaja. Kerana cinta manusia sanggup mempertahankan maruah dan harga dirinya, malah sekaligus sanggup pula berdendam dan membalas dendam apabila haknya tercabar atau cintanya tidak dibalas, atau cintanya dihalang. Perasaan cinta dibahas dengan mendalam oleh Mohd. Fadzilah Kamsah dan Syaidatun Nazirah Abu Zahrin (2005), walaupun cinta sejati ialah cinta kepada Allah. Tetapi pada masyarakat umum, perasaan cinta kepada sesama insan yang berlawanan jenis menjadi fokus utama. Cinta sesama manusia yang berlawanan jenis ini diikuti dengan nafsu amarah, nafsu yang bergelodak dalam diri individu sebagaimana yang dipaparkan dalam Paloh, cinta antara Ahmad dengan Siew Lan dan cinta antara Putih dengan Fatimah.

Dalam Paloh, cinta antara Siew Lan dengan Ahmad mendorong Ahmad memasuki tentera Jepun untuk membolehkan dirinya menghampiri Siew Lan. Akan tetapi Siew Lan sentiasa diancam oleh bintang tiga hingga satu scene menunjukkan Siew Lan hampir dirogol oleh bintang tiga. Akibat daripada itu Siew Lan ingin membunuh diri dengan dengan mengambil tindakan meminum minyak tanah. Akan tetapi Fatimah dapat menghidunya dengan cepat dan memberitahu bapanya untuk menyelamatkan Siew Lan. Cara untuk menyelamatkan Siew Lan oleh bapa Fatimah, satu lagi kaedah dalam pengubatan orang Melayu, iaitu melalui jampi serapah. Persoalan mengenai jampi serapah ini telah diperkatakan oleh Skeat (1984), Mohd. Taib Osman (1989), dan diteruskan kajian oleh Harun Daud (2001). Berdasarkan kajian mereka menunjukkan bahawa jampi serapah atau mantera masih diteruskan amalannya dalam masyarakat Melayu terutamanya oleh masyarakat desa, malah mereka yang berada di kota tetapi berasal dari desa, dan keberadaan mereka di kota disebabkan bekerja atau mencari rezeki.

Adman Salleh meneruskan sistem kepercayaan yang diwarisi oleh orang Melayu dalam perubatan tradisional ini. Mungkin pada masa itu sistem perubatan moden masih belum wujud, maka sistem perubatan tradisionallah yang menjadi amalan dan pegangan mereka. Akan tetapi kalau perkara itu bukan diwarisi dan dipertahankan sepatutnya sistem amalan tidak difokuskan. Apabila ia dikekalkan dalam scene itu menunjukkan ia masih dipertahankan kerana filem ini dibuat pada tahun 2003.

4.3 Pontianak Harum Sundal Malam Arahan Shuhaimi Baba

Filem seram ini bertumpu kepada rentetan kejadian misteri yang berlaku pada dua era iaitu zaman lampau dan masa kini. Pada lewat 1940-an primadona gamelan, Meriam tersepit di antara cinta dua lelaki, Marsani dan Danial. Meriam akhirnya memilih Danial lalu menyebabkan Marsani cemburu. Meriam kemudiannya dijumpai mati ketika hamil anak sulungnya. Sejak itu, kampung terbabit tidak lagi aman apabila berlaku pelbagai kejadian menakutkan. Marsani hidup dalam ketakutan dan selalu dibayangi mimpi ngeri Meriam yang dianggap menjadi puntianak. Lebih 50 tahun berlalu, Marsani terus menghabiskan sisa-sisa hidupnya itu tetapi masih terkenangkan Meriam. Sesuatu yang aneh terjadi apabila muncul seorang gadis, Maria yang wajahnya persis Meriam. Secara kebetulan, Maria adalah kawan baik cucu Marsani, Norman dan isterinya, Anna. Sekali lagi beberapa peristiwa aneh berlaku dan kali ini Maria pula dituduh menjadi puntianak oleh Marsani. Soalnya, siapakah sebenarnya Maria dan apakah hubungannya dengan Meriam?
Puntianak, hantu, jembalang, toyol dan seumpamanya, satu kepercayaan yang berasal dari anamisme, yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi berikutnya. Sistem kepercayaan ini sukar dilupakan. Puntianak sering dikaitkan dengan rasa ketakutan, berdiri bulu roma, terutama di tempat-tempat yang dianggap wujud makhluk itu seperti di kubur orang yang mati dibunuh, di kuil-kuil Hindu, di kawasan pokok-pokok besar yang sepi, seperti di rumpun buluh, pohon bunut, pohon ketapang dan seumpamanya. Mungkin kerana itulah, Shuhaimi Baba menggarap kembali cerita puntianak supaya minat orang Melayu, khususnya, dan orang Malaysia, amnya, kembali ke pawagam. Satu persoalan timbul di sini, kenapa puntianak itu perempuan, tidak lelaki? Tentunya Shuhaimi, selaku pengarah wanita, tidak berkahwin sampai sekarang, mempunyai sikap dan nilai yang memberatkan kepada fahaman feminis. Faham feminis yang disampaikan melalui Pontianak Harum Sundal Malam ada bersebab. Sebabnya ialah Meriam selaku primadona tarian gamelan diangkat di istana, menari di istana dan menerima anugerah primadona juga di istana Paku Laris, sebuah tempat yang simbolik kerana ada unsur-unsur gabungan alam Melayu melalui bahasa pertuturan watak-wataknya, Melayu Pahang, Melayu Singapura dan Melayu Jawa. Gabungan ini semacam simbol kepercayaan orang-orang Melayu bahawa mereka adalah dari satu rumpun dan kerana itu mereka boleh bergabung melalui seni budaya.

Akan tetapi manusia mempunyai naluri dan perasaan yang pelbagai seperti cemburu, hasad dengki, pendendam, iri hati, tamak haloba, di samping mempunyai emosi yang baik seperti kasih sayang, rindu dendam dan seumpamanya. Perasaan semacam ini berbaur, bercampur, bergaul, berpadu, yang boleh menyebabkan jiwa tidak tenteram, fikiran berkecamuk, hati nurani tidak bahagia. Perasaan yang pelbagai itu diadunkan oleh Shuhaimi dalam filemnya. Manusia sentiasa merasa tidak puas kerana nafsu menguasai diri manusia seperti digambarkan melalui watak Marsani, yang pendendam terhadap Meriam, sewaktu hidupnya, Meriam tidak memilih Marsani sebagai suami, tetapi memilih Danial, sahabat baiknya. Marsani merasa marah dan cemburu. Marsani, melalui anak buahnya, membunuh Meriam. Anak Meriam yang dikandungnya dapat diselamatkan dan dibawa lari ke seberang, mungkin ke Indonesia, sebagai lambang simbolik, rumpun Melayu serantau. Mungkin anak itu yang sudah besar diberi nama Maria, dan kadang-kadang Maria berupa Meriam, dalam bentuk jelmaan roh Meriam dalam roh dan jasad Maria.

Filem ini walaupun bergenre seram, tapi puntianak yang ditampilkan Shuhaimi tidak bersifat jahat tidak menentu, jahat puntianak ada bersebab; sebabnya segala kepunyaan Meriam dirampas oleh Marsani, tanah, mahkota, peralatan tarian dan gamelan, semuanya menjadi hakmilik Marsani. Dalam masa yang sama, Shuhaimi menghaibkan watak Danial supaya tidak timbul tragedi yang baru atau perisitiwa yang lain pula. Shuhaimi secara sengaja untuk menonjol watak kewanitaan puntianak, sebagai satu cara untuk membalas dendam terhadap manusia seperti Marsani, lalu mengacau dan mengganggu kehidupannya serta kehidupan ahli keluarganya iaitu Asmadi, Ana, Norman. Gangguan ini ditamatkan apabila Marsani menyedari kesilapannya, dengan mengembalikan tanah, mahkota dan peralatan muzik gamelan kepada Meriam, lambang penyerahan kuasa kepada wanita. Puntianak menangis yang melambangkan bahawa wanita tidak mahu merampas hak orang lain, kecuali haknya. Itulah point of view yang diutarakan oleh Shuhaimi dalam Pontianak Harum Sundal Malam.

Teknik monster bertujuan untuk membangkitkan rasa kegeruman kepada penonton, tetapi monster yang diwujudkan itu tidak begitu kuat kegerumannya kepada penonton, apatah lagi monster itu tidak mempunyai unsur kejahatan. Kejahatan itu berpunca dari manusia, iaitu Marsani sendiri. Monster itu wujud untuk membalas dendam terhadap perbuatan jahat manusia. Setelah manusia sedar, monster itu menangis, melambangkan bahawa manusia, walaupun berwajah puntianak, sebenarnya bersikap baik, inginkan kebahagiaan, kedamaian, dan ketenteraman. Begitu juga kenapa wanita dihubung kaitkan dengan seni dan bunga harum sundal malam. Unsur feminisme ini digambarkan dalam bentuk benda yang dilambang sebagai kehidupan bahawa alam dan benda itu sebahagiannya adalah imej wanita. Seperti bunga iaitu harum sundal malam dan tarian yang lemah-gemalai adalah bentuk lahir dan batin kewanitaan itu sendiri, yang tersimpan di dalam dan tersembunyi disebalik tubuh dan jasad yang lahir, terkandung kental dalam wujud kebatinannya.

Bak kata pepatah, tangan yang lembut itu bisa menggoncang dunia, begitulah mesej kewanitaan Shuhaimi yang ingin disampaikan melalui monster puntianak, menyebabkan Marsani dan anak buahnya hidup tidak tenteram, dalam ketakutan, penuh rasa dendam, kekecewaan, kehampaan, akibat monster Meriam berulang-ulang datang mengancam, mengacau, menggangu, sehingga Marsani mengaku kalah, menyerah dan mengembalikan hak Meriam.

4.3 Puteri Gunung Ledang Arahan Saw Teong Hin
Puteri Gunug Ledang mengangkat martabat wanita yang bukan mudah diperbodohkan untuk dijadikan mangsa nafsu buas Sultan Mahmud Shah kerana Puteri Gunung Ledang tidak langsung menaruh cinta kepada Sultan Mahmud Shah. Persoalan sejarah telah diputar terbalik hingga cerita ini bertukar menjadi metos kerana Puteri Gunung Ledang dalam cerita ini ialah Gusti Putri Retno Dumilah yang berasal dari empayar Majapahit telah melarikan diri kerana tidak bersetuju untuk dikahwin paksa dengan Putera Demak berasal dari Jawa. Walaupun diputar-terbalik fakta sejarah, akan tetapi dalam filem cereka perkara semacam ini tidak menjadi satu kesalahan dan malah menunjukkan daya kreativiti pengarahnya. Dalam Sejarah Melayu Puteri Gunung Ledang tidak diceritakan tentang asal usul puteri itu. Langsung kerana itu daya kreativiti telah dikreatifkan oleh pengarahnya bagi menunjukkan bahawa betapa luasnya Wilayah Rumpun Melayu termasuk di luar Tanah Melayu. Unsur metos juga menunjukkan bahawa orang Melayu masih percaya kepada unsur-unsur diluar jangkauan akal fikir dan percaya bahawa ia wujud. Unsur metos ini menjadi salah satu dari sistem kepercayaan. Sistem kepercayaan ini merupakan sebahagian daripada elemen budaya yang menjadi amalan kepada mereka. Persoalan metos ini banyak digarap dalam karya sastera Melayu, terutama sastera Melayu lama.
Gusti Puteri Retno Dumilah berlayar ke Gunung Ledang yang dikenali sebagai Puteri Gunung Ledang mencari Hang Tuah untuk memadu kasih. Hang Tuah tidak dapat menunaikan tuntutan nafsu kasih Puteri Gunung Ledang kerana persoalan kesetiaan terhadap Sultan, tidak boleh dipertikaikan. Tidak ada keberanian untuk menderhaka. Kesetiaan Tuah adalah kesetiaan yang tidak berbelah bagi hingga sanggup Tuah tidak kahwin sampai bila-bila, seperti yang dgambarkan dalam filem ini.
Filem Puteri Gunung Ledang cuba merakam cinta sejati dan agung antara Tuah dengan Puteri Gunung Ledang. Akan tetapi cinta yang ng agung itu tidak semestinya berakhir dengan perkahwinan. Ada batas sosial dan budaya yang menghalang. Persoalan cinta yang digarap dalam filem itu menggambarkan bahawa orang Melayu setia kepada ketuanya walaupun kekasihnya terpaksa dilepaskan demi kesetiaan kepada yang memayungi. Unsur politik diselitkan dalam pemikiran filem ini secara tersembunyi yang membayangkan bahawa orang-orang Melayu setia kepada pemimpin sebagaimana yang ditunjukkan dalam politik sampai kini, UMNO masih berkuasa sehingga 48 tahun, dan tidak ada keupayaan parti-parti pembangkang mengambil alih kepimpinan dalam pemerintahan negara, mungkin sampai 50 tahun lagipun.
Faktor usia juga bukan menjadi penghalang dalam percintaan, seperti yang digambarkan dalam filem ini, usia Hang Tuah menjangkau 60-an sedangkan Puteri Gunung Ledang baru sahaja 20-an. Oleh itu usia bukan penghalang kepada percintaan. Ini juga menunjukkan falsafah orang Melayu yang dibenarkan kahwin lebih dari satu terutama perkahwinan isteri-isteri yang berikutnya yang dikenali sebagai isteri muda , pada lazimnya konsep isteri muda itu, lebih muda pada usia, walaupun tidak semestinya, daripada isteri pertama atau isteri tua. Dalam Islam kahwin lebih dari satu dibenarkan dengan syarat memenuhi tuntutan yang dibenarkan syarak. Malah, sebagai contoh, Nabi Muhammad sendiri berkahwin dengan Siti Khadijah sewaktu Nabi berumur 25 tahun sedangkan Siti Khadijah berumur 40 tahun, dan Nabi berkahwin dengan Siti Aishah sewaktu Nabi sudah berumur 50-an sedangkan Aishah masih belasan tahun. Faktor jarak masa dan waktu bukan menentukan cinta itu tidak boleh dilestarikan.
Dalam aspek lakon gerak watak berpaksikan ilmu persilatan yang tidak boleh diketepikan kerana Hang Tuah memang terkenal dengan pelbagai ilmu persilatan. Begitu pun dalam persilatan Melayu gerak langkah tingkah meningkah bersusun beralun bertertib dan beradab, dari gerak fizikal dan gerak metafizik terpadu dalam hati ikut rasa-fikir dan rasa-maujud. Kepencakan langkah dan gerak dicantum dalam kebatinan yang diam berhati-hati, yang gerak bersusun strategi. Kelunakan rasa-fikir dan rasa-batin dalam scene Hang Tuah menentang musuh-musuh yang mengacau anak dara orang di pasar terbuka, kesemuanya menunjukkan kehebatan dan kehandalan Tuah. Tuah sebagai lambang kepahlawanan Melayu yang masih mempertahankan jatidiri melalui seni mempertahankan diri.
Raja Majapahit, Gusti Adipati Handaya Ningrat yang meminta perlindungan dari Sultan Melaka kerana adiknya telah lari ke Melaka, setelah gagal menunaikan kepada Sultan Demak untuk mengahwinkan adiknya dengan Sultan tersebut. Sebagai tanda balasan perlindungan hendak dikahwinkan Sultan Melaka dengan adiknya tanda persahabatan. Gusti Putri telah melepaskan diri ke Gunung Ledang dengan meminta tujuh syarat bagi membolehkan Sultan Mahmud Shah mengahwininya, termasuk syarat mengambil darah anakandanya sendiri, Ahmad. Ini menunjukkan dalam falsafah Melayu raja yang bernafsu di hati, beraja di mata tidak peduli kepada keselamatan orang lain hingga anak sendiri sanggup dibunuh demi tuntutan nafsu. Falsafah ini disesuaikan dengan pepatah Melayu: Biar mati anak, jangan mati adat, masih dijadikan landasan untuk berfikir dan bertindak. Ini juga menunjukkan kepentingan adat dan tidak anak harus mengikut adat untuk setia kepadanya. Tanpa adat sudah tentu tanpa panduan dan pegangan yang hendak disandarkan sebagai landasan hukum dalam sosial.
Sebaliknya, semasa peminangan Tuah dan rombongannya ditolak oleh PGL, Tuah merasa malu dengan tujuh tuntutan yang tidak masuk akal itu, maka Tuah merajuk dan menghilangkan diri kerana pada perasaan Tuah, dia telah gagal memberi bakti yang terbaik kepada tuannya. Di samping itu kecintaan Puteri Gunung Ledang terhadap Tuah yang berterusan menyebabkan Tuah merasa dirinya terhina kerana kesetiaannya semacam tergugat. Perasaan merajuk juga kuat ikatannya dalam budaya Melayu apabila gagal mendapatkan sesuatu yang dihajati. Merajuk dengan menghilangkan diri seolah-olah satu lambang bagi mengelak wujudnya perasaan dendam.


5.0 Rumusan

Keempat-empat filem yang dikaji menunjukkan bahawa persoalan mengenai system kepercayaan, falsafah dan pegangan pengarah masih meneruskan premis berlandaskan metos, sejarah dan legenda Melayu. Embun sebuah filem berunsur sejarah pertentangan antara orang Melayu dengan Jepun kerana Jepun tidak menunaikan slogan Asia untuk Asia menyebabkan orang Melayu bangkit menentang mereka. Paloh merupakan filem yang berunsur sejarah penentangan antara Jepun dengan Komunis Malaya kerana masing-masing ingin merebut kuasa ke atas Tanah Melayu. Pontianak Harum Sundal Malam sebuah filem berunsur metos dan lagenda, yang menunjukkan penentangan puntianak wanita terhadap lelaki yang cuba memanupulasikan wanita sebagai alat sehingga segala kekuasaan terletak di atas pundak lelaki dan wanita tidak boleh menentukan kekuasaan, hatta terhadap diri sendiri sehinggalah wanita itu sebagai simbol seks semata-mata. Pada hal wanita adalah manusia sama seperti lelaki kecuali yang berbeza ialah jantina. Akan tetapi tanpa wanita tidak ada lelaki, dan tanpa lelaki juga tidak ada wanita. Kedua-duanya saling perlu memerlukan. Puteri Gunung Ledang juga meneruskan perjuangan feminisme. Wanita tidak patut diperalatkan, sepatutnya dilindungi dan dihargai. Kerana itulah persoalan cinta harus ditentukan mengikut ingin-rasa dan ingin-kasih, bukan ditentukan berdasarkan kekuasaan, yang berkuasa boleh buat apa sahaja terhadap yang dikuasainya. Puteri Gunung Ledang mencintai Hang Tuah tetapi cinta mereka terhalang kerana Puteri Gunung Ledang sudah dijodohkan dengan Sultan Mahmud Shah sedangkan Puteri Gunung Ledang tidak menyukainya dan sebaliknya mencintai Hang Tuah sepenuh jiwa, tetapi kesetiaan Tuah terhadap Sultan menjadi penghalang untuk Tuah mencintai Puteri Gugung Ledang. Tuah pantang menderhaka terhadap Sultan dan langsung menyerah kalah dengan menghilangkan diri – merajuk.

Selain daripada premis tersebut, pengarah sudah melangkah agak ke hadapan dalam filem Embun, Pontianak Harum Sundal Malam, dan Puteri Gunung Ledang dalam memperjuangkan kedudukan wanita dalam status sosial dan budaya. Wanita tidak sepatutnya dipandang hina dan rendah kerana wanita dijadikan setaraf dengan lelaki, malah yang menentukan status sosial dan budaya ialah ilmu atau pengetahuan yang dimiliki dan dikuasai. Dalam Puteri Gunung Ledang wanita tidak mudah mengaku kalah untuk menyerah nafsunya kepada Sultan, maka diciptalah pelbagai tuntutan supaya Sultan tidak dapat mengahwininya. Dalam Pontianak Harum Sundal Malam puntianak Meriam telah mengancam, menghasut, menakut-nakutkan Marsani dan keturunannya kerana merampas hak dan pemilikan Meriam. Tuntutan hak kewanitaan dalam Pontianak Harum Sundal Malam ini tidak melampau, masih terikat dengan batas-batas keMelayuan, yang hak dikembalikan kepada yang berhak, tidak menindas dan merampas hak orang lain. Dalam Embun perjuangan Embun untuk mempertahankan taraf kewanitaan tetap utuh dan teguh dalam dirinya walaupun dirinya di rogol, dia terus berjuang untuk membebaskan tanah airnya dari penjajah dan sekaligus membalas dendam terhadap Akishi yang jahat dan yang ganas terhadap wanita dan sekaligus terhadap tanah airnya yang dijajah. Lazimnya dalam simbolisme wanita itu adalah simbol tanah air. Cuma dalam Paloh kewanitaan itu kurang jelas kerana Adman Salleh seorang pengarah lelaki, tidak menunjukkan feminisme dalam memperjuangkan sesuatu.

Kesimpulannya, filem kita masih tetap wajah kita. Ia tetap meneruskan kesinambungan akar budaya Melayu walaupun gambaran yang diberikan dalam filem-filem yang dipilih masih berligar dalam konsep tradisional iaitu apa yang dipaparkan bukan pada masa sekarang, masih pada masa yang lampau. Akan tetapi pengarah yang mengarah filem-filem tersebut hidup pada zaman sekarang. Dengan sendirinya pemikiran mereka tidak boleh dipisahkan dengan zaman sekarang walaupun citranya pada zaman lampau. Kesayangan dan kesepaduan mereka terhadap budaya yang lama amat disanjungi kerana itulah mereka terus memaparkan dalam filem mereka. Cuma kita sedang menanti filem-filem lain yang menggarap zaman kini dengan pemikiran kini. Filem-filem yang menggarap zaman kini sengaja penulis tidak mengambil sebagai bahan kajian seperti KL Menjerit, Sepet, Buai Laju-Laju. Filem-filem ini akan diperkatakan dalam kertas yang lain pula.




Bibliografi

Al Quran Al Karim.
Abu Hasan Hasbullah. 2005. “Filem: Memenuhkan Fungsi Material dan Fungsi Falsafah Sebagai Seni Ketujuh dan Metafizika Manusiawi” dlm. Jurnal Beringin. Kuala Lumpur: Akademi Seni Kebangsaan.
Adi Pranajaya. 1993. Filem dan Masyarakat. Jakarta: Yayasan Citra.
Ahmad Sarji Abdul Hamid. 1999. P. Ramlee: Erti Yang Sakti. Kuala Lumpur: Pelanduk Publications.

Amida Abdulhamid. 2004. Perasaan Dendam dalam Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Arsiah Sarji, Faridah Ibrahim dan Mazni Buyung. 1996. Pola Pengamalan Profesionalisme dalam Industri Filem Malaysia. Ulu Kelang: FINAS.
Boggs, Joseph, M. 1986. Cara Menilai Sebuah Filem (terjemahan H. Usmar Ismail). Jakarta: Yayasan Citra.
Halliday, F.E. 1946. Five Arts. London: Marion Boyars.
Hamsan Mohamed. 2004. Pengarahan dan Sinematografi P. Ramlee dan Hussein Haniff. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Haron Daud. 2001. Mantera Melayu: Analisis Pemikiran. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
http://www.filemkita.com/filem/1/2000_01.html
Jamil Sulong. 1990. Kaca Permata: Memoir Seorang Pengarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Inggeris-Melayu Dewan. 1992. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Fadzilah Kamsah dan Syaidatun Nazirah Abu Zahrin (2005)
Mohd. Ghazali Abdullah. 2005. “Feminisme dalam Filem Melayu Abad ke-21” . Kertas kerja yang dibentangkan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada 30 September 2004.
Mohd. Taib Osman. 1978. “Kepercayaan Tradisional dalam Sistem Kepercayaan Orang Melayu” dlm. Mohd. Taib Osman dan Hamdan Hassan (eds.). Bingkisan Kenangan Untuk Pendeta. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Taib Osman. 1989. Malay Folk Beliefs: An Intergration of Disparate Elements. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rais Yatim. 2004. “Kata-Kata Aluan” dlm. Abdul Rahman Al-Ahmadi. Tamadun Rumpun Budaya Melayu. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.
Ramli Ismail . 1998. Kenangan Abadi P. Ramlee. Pulau Pinang: Brothers Publications.
Skeat, W.W. 1984. Malay Magic. Singapore: Oxford University Press.
Video Compact Disc filem Embun
Video Compact Disc filem Paloh
Video Compact Disc filem Pontianak Harum Sundal Malam
Video Compact Disc filem Puteri Gunung Ledang