Minggu, 08 Juni 2008

puisi shafie abu bakar

SIMBOLISME DALAM ANTOLOGI PUISI “MADU ILMU” KARYA SHAFIE ABU BAKAR

OLEH:
MOHD. GHAZALI ABDULLAH
AKADEMI SENI BUDAYA DAN WARISAN KEBANGSAAN (ASWARA),
464 JALAN TUN ISMAIL,
50480 KUALA LUMPUR.

Abstrak
Simbolisme dikaitkan dengan mental dan semiotik. Semiotik tidak terbatas kepada bahasa sahaja, malah ia dikaitkan dengan makna yang tersembunyi. Dalam kertas ini simbol disebalik makna dalam puisi digunakan dalam menganalisis puisi-puisi Shafie Abu Bakar dalam antologi “Madu Ilmu”. Aspek-aspek yang dianalisis ialah simbol dalam bentuk, bahasa dan tema. Kajian simbol ini melihat kepada penggantian sesuatu objek dengan objek yang lain, perbandingan sesuatu yang konkrit dengan sesuatu yang abstrak, nilai dan kesan terhadap penciptaan dan penerimaan masyarakat sebagai wadah kehidupan harian, menambah kepentingan apa yang disimbolkan, memperlihatkan idea dan perasaan pencipta atau penyair. Fokus dalam antologi ini diberi tumpuan puisi-puisi yang berkaitan dengan ilmu. Tujuan kajian ialah melihat ilmu dengan menggunakan pendekatan simbolisme dalam puisi “Madu Ilmu”. Konsep ilmu dipilih kerana status ilmu diberi keutamaan oleh penyair. Oleh itu puisi yang dipilih untuk diperkatakan ialah puisi yang membincangkan tentang “ilmu”.




1.0 Pendahuluan

Shafie Abu Bakar, anak kelahiran Terengganu, seorang ahli akademik, ahli politik dan penyair. Beliau bermula sebagai seorang ahli akademik dengan menjawat jawatan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang pengajiannya ialah kesusasteraan Melayu dan Islam. Selama hampir 25 tahun, beliau berbakti di Universiti tersebut sehingga persaraannya pada tahun 1999. Selepas persaraannya, beliau ditawarkan untuk menjadi calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri Kajang pada tahun 2000 dan beliau memenangi kerusi tersebut, tetapi kalah pada tahun 2004 apabila kawasan Kajang dipersempadankan semula dan beliau bertanding di Kawasan Bangi, dan kalah kepada kawan rapatnya dari calon Barisan Nasional, Amran Kasimin.

Dalam dunia penulisan, beliau mulai menulis puisi sejak di sekolah menengah lagi. Tetapi keaktifan beliau bila menjejakkan kaki ke Universiti Kebangsaan Malaysia sejak 1970, iaitu sewaktu universiti tersebut mula mengambil pelajar sulungnya. Beliau merupakan salah seorang pelajar sulung dari universiti tersebut. Kegiatan penulisan puisi ini sehingga beliau menjawat jawatan tutor dan selepas itu pensyarah pada tahun 1977. Dalam bidang sastera, beliau telah melahirkan teori Takmilah, iaitu teori mengenai hubungan karya, karyawan dan Penciptanya, yang tidak boleh dipisahkan antara ciptaan dan Penciptanya iaitu Tuhan. Walaupun Shafie menggunakan pendekatan takmilah ubtuk meneliti kajian sastera, penulis tidak menggunakan pendekatan tersebut untuk mengkaji karya beliau. Penulis memilih pendekatan simbolisme bagi menganalisis karya-karya beliau yang berkaitan dengan ilmu. Pilihan ini dibuat memandangkan Shafie mengutamakan ilmu. Keutamaan itu amat jelas sehingga beliau memberi jodol antologi ini dengan “Madu Ilmu” (1999) terbitan Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Di dalam antologi ini terkumpul 142 buah puisi termasuk “Mukadimah” dan “Harummu”, yang juga ditulis dalam bentuk puisi. “Mukadimah” sebagai kata pengantar, manakala “Harummu” merupakan puisi yang diletakkan di belakang kulit buku. Puisi-puisi ini ditulis oleh beliau dari tahun 1968 hingga 1998 iaitu selama 30 tahun, satu jangka masa yang lama.

Dalam kertas ini, penulis akan mengkaji puisi-puisi dalam antologi “Madu Ilmu” ini dengan melihat simbolisme yang terkandung di dalamnya, yang sesuai dengan jodol antologi itu sendiri, mengutamakan ilmu. Simbolisme dilihat dalam konteks budaya ilmu yang digunakan dalam puisi “Madu Ilmu”. Kajian simbol ini melihat kepada penggantian sesuatu objek dengan objek yang lain, perbandingan sesuatu yang konkrit dengan sesuatu yang abstrak, nilai dan kesan terhadap penciptaan dan penerimaan masyarakat sebagai wadah kehidupan harian, menambah kepentingan apa yang disimbolkan, memperlihatkan idea dan perasaan pencipta atau penyair. Penulis hanya memilih lapan buah puisi dalam antologi ini. Pemilihan ini dibuat berdasarkan kekuatan yang ada pada puisi ini yang membincangkan persoalan tentang ilmu, sesuai dengan isu yang diperkatakan dalam kertas ini iaitu simbolisme dalam konteks ilmu.

2.0 Konsep Simbolisme

Simbol telah digunakan secara meluas dalam kehidupan manusia. Simbol atau simbolisme mempunyai perhubungan yang erat dengan manusia dan kebudayaannya. Kenyataan ini wajar memandangkan kebudayaan itu terdiri daripada gagasan, simbol dan nilai sebagai hasil karya dan perilaku manusia ((Muhammad Afandi, 1995: 1). Manusia berfikir, berperasaan dan bersikap dengan menggunakan ungkapan yang simbolis. Oleh itu pelbagai definisi telah dikemukakan terhadap perkataan simbol. Definisi yang paling umum dikemukakan oleh Needham (1954: 3) yang mengatakan bahawa simbol adalah sesuatu yang mewakili sesuatu perkara yang lain. Bagi menyokong hujah itu, beliau mengemukakan mahkota sebagai contoh, menurutnya mahkota ialah simbol kepada sistem pemerintahan beraja. Simbol atau lambang mempunyai hubungan yang erat dalam puisi. Mengikut Herman (2002: 4), hubungan lambang dalam puisi banyak digunakan iaitu penggantian suatu hal/benda dengan hal/benda lain. Ada lambang yang bersifat lokal, kedaerahan, nasional, dan ada juga yang bersifat universal. Beliau memberi contoh, bendera adalah lambang identitas negara, bersalaman lambang persahabatan, pertemuan atau perpisahan.

Simbolisme mempunyai prinsip yang berhubung rapat dengan kehidupan masyarakat kerana pengambilan simbol dalam bahasa atau objek berdasarkan sesuatu yang difahami oleh masyarakat yang diwakilinya. Simbol mewakili sesuatu makna yang lain, iaitu sebagai penggantian sesuatu objek kepada objek yang lain. Seseorang penyair dengan menggunakan diksi ia cuba membayangkan sesuatu hal yang berhubungan dengan objek tersebut. Ini termasuklah penglibatan imej yang lebih konkrit bagi melahirkan emosi dan idea yang abstrak.

Menurut Budiono (1985: 10), ungkapan yang simbolis itu merupakan ciri khas manusia, yang jelas membezakan dengan haiwan. Kerana itulah, manusia tidak pernah melihat, menemui, mengenali dunia secara langsung, tetapi mengenalinya melalui simbol. Di dalam simbol mengandungi unsur-unsur pembebasan dan perluasan pemandangan manusia terhadap apa yang nampak di alam sekelilingnya. Tujuan simbol, mengikut Whitehead (1927: 63) untuk memperbesarkan lagi kepentingan apa yang disimbolkan itu. Needham (1979: 5) berpendapat bahawa fungsi simbol juga untuk menimbul dan mempertahankan kewajipan emosi yang telah ditetapkan sebagai kepentingan dalam sesuatu komuniti. Berdasarkan pendapat-pendapat tersebut, Needham (1954: 5) merumuskan bahawa simbolisme adalah penting kerana, pertama, menandakan sesuatu yang penting dari segi sosial, dan kedua, mendorong manusia untuk mematuhi atau mengikuti nilai-nilai yang sepatutnya mereka hidup bersama.

Simbolisme, mengikut Sperber (1975: 1-5), mempunyai dua kriteria, pertama dalam bentuk mental berupa corak pemikiran masyarakat, termasuk corak kepercayaan seperti anamisme bagi masyarakat primitif yang tidak rasional lagi pada masa kini, dan kedua, simbol berupa semiotik yang tidak terbatas kepada bahasa sahaja kerana makna bahasa biasanya membawa maksud luaran yang agak terhad sedangkan makna semiotik lebih menyeluruh meliputi makna yang tersembunyi. Mengikut Safian et al. (1998: 305) bahawa dalam pengertian biasa, simbol adalah sesuatu yang berdiri sebagai dirinya sendiri di samping menyarankan atau memaknakan sesuatu yang lain.

Dalam pengertian sastera, simbol adalah kiasan yang menggabungkan nilai literal dan nilai penikmatan dengan aspek abstrak atau aspek yang menyarankan (Haron Daud, 2001: 204). Haron Daud meneruskan lagi hujahnya bahawa simbol tidak jauh bezanya dengan imej dan metafora. Perbezaan itu hanya terletak pada perulangan dan sifat “persistent” simbol. Sekiranya imej itu dibangkitkan sekali sahaja ia menjadi metafora tetapi sekiranya imej tersebut ditimbulkan berulang kali secara “persistent”, sebagai presentasi dan juga representasi, maka imej itu menjadi suatu simbol, malah mungkin menjadi sebahagian daripada satu sistem simbolik (Wellek dan Warren 1988, 315).

Dalam konteks puisi, aspek simbol atau perlambangan merupakan aspek semantik yang rapat sekali hubungannya dengan keseluruhan nilai estetika sesebuah puisi. Kebolehan seseorang penyair menggunakan lambang-lambang yang segar dan berkesan di dalam karyanya amatlah mengagumkan. Pada dasarnya simbol dan lambang adalah tanda yang hubungannya dengan objek atau sesuatu perkara ditentukan oleh peraturan masyarakat. Simbol yang abstrak biasanya lebih bersifat pribadi atau personal manakala simbol konkrit lebih bersifat umum kerana ia telah disepakati oleh masyarakat yang diwakilinya.

Simbol mempunyai nilai dan kesan tersendiri terhadap penciptaan dan penerimaan masyarakat. Dalam psikologi, Freud dan Jung menekankan simbol adalah univalent. Freud menafsirkan mimpi Leonardo da Vinci yang berdasarkan pada hieroglyphs Mesir. Jung pula menganalisis pada alam bawah sadar kolektif (Sariyati, 2001: 93). Dalam konteks ini, hubungan simbolik muncul sebagai hasil dari hubungan tanda dengan internal. Istilah internal dipakai untuk menunjuk hubungan antara signifer dan signified. Hubungan simbolik menunjuk status kemandirian tanda untuk diakui keberadaannya dan dipakai fungsinya tanpa tergantung pada hubungan dengan tanda lain. Kemandirian ini membuat tanda tersebut menduduki status simbol (St. Sunanrdi, 2002 : 55).

Pemakaian simbol diperlukan bukan hanya untuk berfikir dan untuk keindahan, tetapi juga untuk setiap perlakuan bagi mempertahankan masa lalu atau untuk masa ini, bertujuan untuk mengingat sesuatu kerana sejarah dan simbol saling berkaitan (Sariyati, 2001: 91-92). Dalam hal ini, Chadwick (1971: 2) menyatakan bahawa simbol merupakan satu perbandingan antara sesuatu yang konkrit dengan sesuatu yang abstrak. Syarat bagi perbandingan itu ialah faktor saranan. Saranan itu dikatakan sebagai satu teknik seni untuk melahirkan idea dan emosi secara tidak langsung sehingga tergambar perasaan tertentu. Perasaan ini tidak dinyatakan secara jelas tetapi dikias dan diibaratkan secara simbolis.

Dalam pendekatan semiotik, simbol merupakan satu bentuk tanda selain ikon dan indeks (Umar Junus 1989, 109). Dalam konteks puisi, simbol dikaitkan dengan diksi, iaitu pemilihan kata. Pemilihan kata itu menentukan sejauhmana simbol itu telah diapplikasikan dalam puisi. Di sini puisi yang dipilih untuk diperkatakan ialah puisi-puisi Shafie Abu Bakar dalam antologi “Madu Ilmu”. Oleh itu tujuan kajian ini ialah mencari dan menilai ilmu dalam puisi-puisi Shafie Abu Bakar dalam antolongi “Madu Ilmu” yang berkaitan dengan konsep ilmu.

3.0 Konsep Puisi

Menurut Muhamad Hj. Salleh (1988: 2-4), puisi adalah karya yang sudah mencapai taraf yang agak tinggi dalam tema, bahasa dan tekniknya sehingga ia dapat digolongkan dalam karya sastera. Manakala sajak pula lebih membawa makna sebagai karya ringan dan belum sampai pada peringkat sastera. Wordsworth yang dikutip oleh Muhammad Hj. Salleh (1988) memberi pengertian bahawa puisi adalah “perkataan terbaik dari susunan terbaik”. Walaupun perkataan yang diberi itu mudah tetapi ia mempunyai makna yang mendalam. Perkataan yang terbaik membawa makna pemilihan diksi atau perkataan yang paling baik dan bermakna, dan susunan terbaik pula membawa makna susunan dalam setiap baris, antara baris, setiap kata dalam baris, antara rangkap, dan seluruh rangkap mempunyai makna yang terbaik pula. Oleh itu, Muhammad Hj. Salleh melanjutkan hujahnya, bahawa untuk lebih teratur dalam perbincangan, puisi harus ditumpukan kepada bentuk, bahasa dan tema, kerana ketiga-tiga aspek ini adalah kekuatan yang membentuk puisi. Sebagaimana yang dirumuskan oleh Muhammad Hj. Salleh (1988: 11-12), bahawa puisi “dapatlah dianggap sebagai bentuk yang lebih kental, berentak, banyak berunsur muzik bahasa. Penggunaan bahasa dalam genre ini juga lebih padat, teliti dan kadang-kadang mendekati lagu. Temanya diambil dan diolah daripada hidup seharian tetapi dipersembahkan kepada pembaca atau pendengar dengan sudut pandangan yang agak luar biasa; dan dengan itu dapat membijaksanakan pembaca atau pendengarnya. Puisi juga mempunyai teknik-teknik tertentu.”
Bertolak dari tafsiran dan pandangan Muhammad Hj. Salleh tersebut, penulis berpegang kepada konsep bahawa puisi, walaupun mempunyai genre yang boleh dipelbagaikan seperti pantun, seloka, sajak, syair, gurindam dan sebagainya, masih beranggapan bahawa penggunaan istilah puisi itu lebih wajar untuk istilah sajak kerana itulah pada kelaziman kini perkataan puisi dipakai untuk merujuk kepada sajak. Ketepatan perkataan ini seperti yang diutarakan oleh Muham0mad Hj. Salleh dan juga S.T. Coleridge dan Wordsworth, puisi adalah merangkumi “perkataan terbaik dari susunan terbaik”. Barbette Deutsh, sebagaimana dikutip oleh Muhammad Hj. Salleh juga mengatakan bahawa puisi sebagai “seni yang menggunakan pengucapan dan lagu untuk menyingkap kenyataan-kenyataan yang dirakamkan oleh deria manusia, yang dihormati oleh perasaan, yang ditanggapi oleh akal dan yang disusun oleh imaginasi yang membentuk” (Muhammad Hj. Salleh, 1988: 4).

Hujah di atas tidak lari dari pandangan Herman (1987: 25) yang memberi definisi seperti berikut:

“Puisi adalah bentuk karya sastera yang mengungkapkan fikiran dan perasaan penyair secara imaginatif dan disusun dengan mengkonsentrasikan semua kekuatan bahasa dengan pengkonsentrasian struktur fizik dan struktur batinnya.”

Shafie dengan puisi dimaknakan puisi itu begini:

Adalah anggor jiwa dari ladang
pengalaman tertuang di dalam
piala kata bercahaya seni dan
bersifat mistri.

Ialah minuman asyik kelana
fana di gurun diri yang rindu
membawa kepada Ilahi.
(Puisi, 1999: 41)

Puisi adalah minuman jiwa berdasarkan pengalaman dengan kata yang bercahaya seni tetapi bersifat mistri. Ia menjadi minuman kepada mereka yang asyik berkelana di dalam diri yang rindu kepada Ilahi, iaitu yang mencipta. Itulah tanggapan Shafie terhadap puisi.

4.0 Konsep Ilmu dalam Konteks Islam

Konsep ilmu perlu dibincangkan dalan kertas ini terutama ilmu dalam konteks Islam kerana penyair menggunakan konsep ilmu dalam menulis kebanyakkan puisi-puisinya. Pada dasarnya ilmu berakar umbi dari kata dasar falsafah. Falsafah dalam bahasa, seperti yang dihuraikan oleh Hashim Ismail (2003: 44), berasal dari kata Yunani, iaitu ‘philos’ bermaksud cinta dan ‘sophia’ pula bermaksud pengetahuan atau hikmah. Oleh itu ahli falsafah, mengikut Hashim lagi, orang yang mencintai akan ilmu pengetahuan. Asal kata ‘hikmah’ pula berasal dari ‘tali kendali’ iaitu tali bagi mengekang kuda. Dengan itu kata ‘hikmah’ itu bermakna pengetahuan atau kebijaksaan. Orang yang berpengetahuan atau kebijaksaan itu sentiasa berhikmah dalam melakukan sesuatu tindakan atau menggunakan perkataan yang rendah tarafnya. Mengikut Hashim lagi, hikmah boleh dicapai oleh manusia dengan menggunakan alat tertentu, iaitu akal dan metode-metode berfikirnya.

Mengikut Hashim lagi, punca falsafah tentang ilmu ialah, pertama, sikap ingin bertanya, dan kedua, sikap ingin mengembangkan refleksi biasa. Tujuannya untuk mencari kebenaran kerana kebenaran itu sesuatu yang mutlak dalam ilmu. Oleh kerana ilmu berpunca dari falsafah, sebagaimana yang diutarakan oleh Syed Muhammad Naquib, yang dikutip oleh Hashim Ismail (2003: 44-45):

“Falsafah dan sains moden hanya mencuba menjelaskan ‘perspektif kebenaran’ dari zaman terjadinya kirsis kebenaran, hingga menghilangkan objektivitas kebenaran. Orang tidak dapat mengubah, menambah, atau menghiasi kebenaran sehingga ia menjadi lebih benar, dan juga tidak dapat mengurangkannya; menambah atau mengurangi kebenaran tidak akan menghasilkan kebenaran tetapi kepalsuan. Kebenaran adalah dirinya sendiri semata-mata; tidak kurang tidak lebih. Bagi setiap kebenaran, ada batas sepadan dengannya; ilmu tentang batas itu adalah kearifan atau hikmah. Dengan hikmah, setiap kebenaran mendapatkan maknanya yang tepat yang tidak mengurangi ataupun melampauinya. Ada batas kebenaran dalam setiap objek ilmu, dan setiap objek ilmu memiliki batas kebenaran yang berbeda. Diantaranya ada yang lebih dalam dan sulit ditemukan dibanding dengan yang lainnya, sehingga dalam upaya tanpa henti kita untuk menemukannya tidak ada masalah pembatasan penelitian, yang tujuannya adalah dengan dibimbing oleh hikmah, mengenali batas-batas itu. Dengan demikian ilmu yang benar adalah ilmu yang mengenal batas kebenaran dalam setiap objeknya”.

Hashim melanjutkan hujahnya bahawa datangnya hikmah bukan dari penglihatan melalui mata lahir sahaja, tetapi yang lebih penting penglihatan melalui mata batin, iaitu hati dan fikirannya yang tertuju kepada alam yang ada disekeliling kita. Hashim merumuskan bahawa banyak orang melihat, tetapi tidak memerhatikan, kerana itu Tuhan mengajak kita untuk melihat dan berfikir. Pandangan Hashim ini berdasarkan pandangan yang diutarakan oleh A. Hanafi; M.A. (1976: 12).

Ilmu pula terbahagi kepada dua klasifikasi, iaitu ilmu fardu ‘ain dan ilmu fardu kifayah. Fardu ‘ain bermaksud setiap orang Muslin yang mukhalaf, wajib ke atas setiap individu menuntut dan mempelajarinya secara mendalam kerana ilmu fardu ‘ain seperti ilmu tentang solat, ilmu tentang zakat, puasa atau lain-lain yang berkaitan dengan keperluan diri sebagai hamba Allah dan khalifahNya di muka bumi ini, tidak akan terlepas dari kewajipan ke atas diri individu itu sendiri. Lantas kerana itu sifatnya wajib ke atas diri perlu dipelajari dan diamalkan secara terus. Ilmu yang kedua ialah ilmu fardu kifayah, yang hanya perlu dipelajari dan didalami oleh satu kelompok atau individu tertentu bagi melepaskan tanggungjawab umat Muslim seluruhnya. Dalam perkataan lain, sekiranya seorang Muslin berada di suatu mukim tentang perubatan atau kedoktoran, maka seluruh mukim itu terlepas dari tanggungjawab menunaikan fardu kifayah itu. Bidang ilmu fardu kifayah ini amat luas meliputi ilmu tentang sembahyang jenazah sampai ilmu tentang mengkaji bintang dan cekerawala seluruhnya. Ilmu inilah yang memberi kita peluang dalam membina kerjaya kita seperti doktor, pensyarah, pegawai atau seumpamanya.

Bagaimanakah kita memperolehi ilmu? Mengikut kaedah Islam ilmu diperolehi melalui pembelajaran (Nadhari) dan satu lagi ialah melalui pemberian Allah (Dharuri) secara langsung kepada invididu itu sahaja (Muhammad Syukri, 1988: 5). Ilmu yang diperolehi secara pembelajaran semua orang boleh mendapatkannya asalkan ia berusaha ke arah itu secara sungguh-sungguh, dengan izin Allah, akan tetapi ilmu secara pemberian Allah kepada makhlukhNya melibatkan ilmu kebatinan kerana ilmu jenis ini, sebagai contoh, Allah berikan kepada Nabi Khaidir. Semasa Musa a.s. ingin berguru dengan Nabi Khaidir, Nabi Khaidir telah memberi beberapa syarat kepada Nabi Musa. a.s. supaya mematuhinya sebelum diterima menjadi muridnya. Pertama, jangan ditanya apa yang Nabi Khaidir hendak lakukan sebelum tamat pengajian. Kedua, patuh dengan apa yang diperintahkan. Ketiga, belajar mendengar daripada membantah. Tindakan yang dilakukan oleh Nabi Khaidir ialah menegakkan kembali rumah yang hendak runtuh. Kedua, Nabi Khaidir menenggelamkan sampan seorang pemuda. Nabi Musa melanggar peraturan gurunya Nabi Khaidir, beliau bertanya dan membantah sikap dan perlakuan yang dilakukan oleh Nabi Khaidir. Maka tamatlah perguruan Musa dengan Khaidir. Khaidir menjelaskan kepada Musa kenapa beliau menegakkan rumah orang tua yang hampir runtuh kerana di bawah rumah itu tersimpan harta anak yatim. Kenapa beliau menenggelamkan sampan kerana sampan itu digunakan untuk merompak harta orang lain (Muhammad Syukri, 1988: 34). Ini menunjukkan bahawa ilmu pemberian Allah kepada Nabi Khaidir adalah sesuatu yang luar biasa, yang tak disangka-sangka, tidak perlu dipelajari, anugerah dari Allah kepada makhlukNya yang terpilih.

Tujuan mencari ilmu dan memanfaatkan ilmu untuk mencapai mardatilah atau mendapat keredaan Allah Ta’ala. Ilmu tidak mendapat keredaan tidak akan bermakna kerana matlamat hidup manusia juga mendapat keredaan Allah Ta’ala. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita akan kembali. Kerana itulah tidak ada sesuatu apa pun yang boleh terlepasa dari kekuasaan Allah, sama ada sesuatu itu sedia nampak dilihat atau belum dilihat, sama ada telah wujud atau ia masih berada dalam hayatusabitah.

5.0 Simbolisme dalam Puisi ‘Madu Ilmu’ Shafie Abu Bakar

Shafie Abu Bakar dalam tempoh yang panjang, 30 tahun, menulis puisi yang terkumpul dalam antologi “Madu Ilmu”, bermula dari tahun 1968 dan berakhir pada tahun 1998, tercantum di dalam “Madu Ilmu” ini sebanyak 142 buah puisi. Bagi seorang penyair tentunya tempoh 30 tahun itu dengan sejumlah 142 buah puisi adalah satu jumlah yang kecil. Walaupun jumlahnya kecil, terkumpul dalam antologi ini sejambak mutiara kata yang mempunyai simbol yang dapat dikelasifikasikan ke dalam simbol-simbol yang bersifat global, nasional, lokal dan individu.

Dalam puisi yang berjodol “Madu Ilmu” (hal, 56-57), penyair melambangkan ilmu sebagai madu. Madu adalah minuman yang paling bernilai, sedap, boleh mengubati segala macam penyakit. Mengenai madu, Allah telah berfirman, yang maksudnya:

“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada Lebah: ‘Hendaklah kamu membuat sarangmu di gunung-gunung, di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah daripada segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang kamu sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang dilhamkan dan dimudahkanNya kepadamu.’ Dengan itu, akan keluarlah minuman (madu) yang berlainan warnanya dari dalam badannya yang mengandungi penawar bagi manusia daripada berbagai-bagai jenis penyakit. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”
(An-Nahl: 68-69)

Oleh itu madu boleh mengubati berbagai-bagai jenis penyakit bagi orang-orang yang berfikir. Bagi orang yang berfikir mestilah mempunyai ilmu. Tanpa ilmu tentunya akal tidak akan berfungsi kerana ilmu adalah asas dalam pemikiran, ke arah pembentukan akal kerana ilmu adalah tunggak kecerdikan, kepintaran, dan ilmulah yang menghilang segala macam kebodohan, kesepian, kepalsuan. Ilmu itu terletak di akal, di kepala, di tempat yang termulia dari segala anggota tubuh. Ahmed Lathiff (1994) telah membincangkan secara panjang lebar dalam bukunya “Madu Lebah Penawar Penyakit Zahir dan Batin” dan menerangkan khasiat dan penawar yang boleh diubati dengan menggunakan madu lebah. Maka Shafie mengaitkan ilmu sebagai madu yang manis dan boleh mengubati pelbagai penyakit tersebut. Berdasarkan Surah An-Nahl itulah mungkin Shafie menggarap puisinya yang berjodol “Madu Ilmu” ini. Sebab itulah, Shafie mengatakan:

Sepantun ilmu
setitik madu
rumusan zat alam
dari lembah gunungan
kuntum kembangan
kita yang asyik
adalah penghirup madu ilmu
pada piala akal
dari penerokaan ilmuan
peradaban temurun
terhimpun berkurun.

(hal. 56)

Walaupun sedikit ilmu itu diperolehi iaitu “sepantun ilmu” atau “setitik madu” ia merupakan “rumusan zat alam” iaitu merupakan rumusan dari segala aspek dalam disiplin keilmuan kerana ilmu berlandaskan kepada pengertian, konsep, hipotesis, teori dan amalan. Kerana itulah ilmu itu perlu diteroka sejak berabad-abad, iaitu “pada piala akal, dari penerokaan ilmuan, peradaban temurun, terhimpun berkurun”. Ilmu bukan mudah diperolehi, ia bermula sejak berkurun, diperturunkan kepada generasi demi generasi untuk mempertingkatkan martabat dan status manusia dalam masyarakat. Orang berilmu ialah orang yang tahu menggunakan ilmunya untuk kebaikan kepada masyarakat.

Bagi penyair ilmu itu adalah “madu ilmu” yang menjadi “minuman ajaib” kerana “tiap tegukan menyalakan dahaga” yang “bergandaan” pada “tiap penemuan merasakan” akan “kehilangan” walaupun “asyikpun berulangan” kerana ilmu itu “ketidakpuasan meneruskan” untuk “penerokaan”. Dalam rangkap kedua itu sebagaimana kutipan selanjutnya, Shafie mengatakan:


Madu ilmu
minuman ajaib
tiap tegukan menyalakan dahaga
bergandaan
tiap penemuan merasakan
kehilangan
asyikpun berulangan
ketidakpuasan meneruskan
penerokaan
demikian ialah pengangkat insan
di tengah jadian
paksi alam
khalifah Tuhan.
(hal. 56)

Madu yang dihasilkan oleh lebah terdapat berbagai-bagai warna sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah. Ada madu yang berwarna putih, kuning, merah dan pelbagai warna lagi berdasarkan kepada jenis-jenis tumbuhan yang dilawatinya (Ahmad Lathiff, 1994:5). Shafie menafsirkan madu itu sebagai “madu ilmu” iaitu sejenis “minuman ajaib” yang menghilangkan “dahaga” berkali-kali “bergandaan”. Malah ilmu yang diumpamakan sebagai madu, “setiap penemuan” akan “merasakan kehilangan”, kekurangan pada diri sendiri kerana betapa kayanya ilmu yang ditemui akan mengangkat martabat insan di tengah-tengah kejadian yang merupakan paksi alam, iaitu sebagai khalifah Tuhan. Asasnya manusia dijadikan di muka bumi ini dengan dua tujuan, sebagai hambaNya yang harus taat dan setia dengan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Tugas manusia sebagai hamba ditegaskan melalui firman Allah:

“... dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan yang sangat kukuh.”
(Adz Dzariyyat, 58)
Manusia sentiasa mengengkari perintah Allah, malah ada yang tidak percaya wujudnya Allah. Tetapi sayang, manusia yang engkar itu kenapa duduk, makan dan minum di bumi kepunyaan Allah? Sedangkan Allah menjadikan bumi ini untuk manusia, sebagaimana firman Allah, yang bermaksud:

“Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya), dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dari air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa) Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa.
(Al-Baqarah, 22)

Tujuan kedua, manusia sebagai khalifah di bumi, sebagai pemegang amanah, harus mentadbir dan mengurus dunia dengan sebaik-baiknya. Sebagai kahlifah di bumi manusia adalah pemimpin segala makhluk yang wujud di bumi, sama ada makhluk yang nampak atau makhluk yang tidak nampak, harus mentadbir dengan baik dan teratur, dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Persoalan tentang khalifah di bumi, Allah berfirman, yang maksudnya:

“ ... dan ingatlah ketika Tuhanmu telah berkata kepada para malaikat, sesungguhnya Aku akan menjadikan khalifah di muka bumi ...”
(Al-Baqarah, 30)

Khalifah di muka bumi itu ialah manusia kerana manusia dijadikan untuk memikul tanggungjawab itu. Sebagai memenuhi tanggungjawab, manusia dikehendaki memegang amanah Allah iaitu jangan berlaku zalim dan jangan bertindak bodoh, sebagaimana firman Allah, yang maksudnya:

“Sesungguhnya kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung ganang maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dari mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan bodoh.”
(Al Ahzab, 72)

Amanat itu, iaitu sebagai khalifah amat berat tanggungjawabnya, tetapi manusia yang mengengkari tanggungjawab itu, maka ia akan menerima akibatnya Sebab itulah Shafie mengatakan “di tengah (ke)jadian (makhluk), yang merupakan “paksi alam” dipertanggungjawabkan sebagai “khalifah Tuhan”, iaitu manusia sebagai khalifah di bumi, pemimpin bagi segala makhluk.

Shafie meneruskan lagi puisi ini dengan mengatakan:

Madu ilmu
minuman asyik
nikmat yang kita kecapi
titis lautan tak bertepi
ditimba berulang bertambah
gandaan
kita yang tergiring ke pantainya
kecil di pergigian
runduk kekaguman
pengakuan dengan kealiman
melonjak diri pada kekosongan
kerana kita selamanya tidak tahu
cuma pengasyik madu ilmu.
(hal. 56)

Orang yang menikmati ilmu dilambangkan sebagai “minuman asyik” kerana ilmu itu “titis(an) lautan tak bertepi”, walaupun “ditimba berulang” tetapi ia makin “bertambah gandaan” , sifat yang “runduk kekaguman” menjadikan kita suatu “pengakuan dengan kealiman”, sedangkan mereka yang “melonjak dengan kekosongan, kerana kita selamanya tidak tahu” cuma asyik dengan “madu ilmu”. Orang yang berilmu tentunya orang yang sentiasa tunduk dan tawaduk kepada pemberi ilmu, iaitu Allah kerana dari pemberianNyalah kita manusia memperoleh faham, kerana dengan ilmulah kita memperolehi pengetahuan, dan dengan ilmu juga kita dapat menyampaikan ilmu itu kepada orang lain. Di sinilah Shafie melambangkan ilmu itu sebagai “madu” yang manis dan memberi segala rahsia yang tersembunyi, yang kita sedari atau tidak disedari.

Lambang “madu” sifat global kerana semua bangsa mengetahui bahawa “madu” itu dapat menyembuhkan pelbagai penyakit dan ia sekaligus memberi nikmat bagi yang meminumnya. Kesedapan “madu” telah terakam dalam Al Quran sebagai maksud yang dipungut di atas itu. Begitu juga lambang “ilmu” sebagai kunci menghilangkan kejahilan dan kebodohan adalah sifatnya global, kerana untuk melakukan sesuatu perlukan ilmu tanpa ilmu hidup kita dalam kejahilan dan kebodohan. Di sini “madu” sebagai petanda dan “ilmu” sebagai penanda.

Dalam pemilihan kata, Shafie menggunakan diksi yang sesuai dengan konsep ilmu, seperti dalam puisi “Universiti”, seperti kata Shafie:

Ruang kampusnya
asas jejak injak ideal
meluaskan horizonnya
ke cakerawala ilmu
fizik dan metafiziknya.
(hal. 37)

Dalam puisi ini, persoalan fizik ialah struktur fizikal yang dinamakan “kampus”, iaitu suatu tempat yang sudah diketahui umum, pusat pengajian tinggi, tempat menjadi kebanggaan semua orang. Struktur metafiziknya ialah tempat menimba ilmu dan mengembangkan ilmu.
Puisi-puisi lain yang membincangkan tentang ilmu seperti “Mukadimah” yang menceritakan pengalaman pribadi dalam dunianya sebagai seorang pensyarah, seperti katanya:

...................................
Puisi-puisi kumpulan ini
ilham intuitif diri
tiga dekad
perjalanan menghirup madu ilmu
di kampus alma materku
terima kasih jabatan
dan teman-teman
memungkinkan penerbitan.

Madu ilmu
warna pengalaman
musafir mencari
lazat tertinggi nikmat abadi
namun semua sentuhan
cuma permukaan
ibarat butir-butir pasir
gunung tanah bumi
tak tertafsir
sebagai meluas laut dalam
tak terselam
diri hanyalah di pinggir
keagungan.

(Mukadimah: x)

Penyair, sebagai seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam tempoh tiga puluh tahun, merakamkan terima kasih kepada jabatan tersebut dan teman-teman seperjuangannya, yang sekaligus memungkinkan antologi ini dapat diterbitkan. Dalam kumpulan ini, Madu Ilmu, merupakan warna pengalaman, rencah kehidupan sebagai seorang musafir, dan dalam mencari ilmu itulah sebenar-benarnya lazat tertinggi, nikmat abadi, akan tetapi semua yang disentuh atau diperkatakan hakikatnya cuma di permukaan sahaja, ibarat butir-butir pasir dari gunung tanah bumi yang tak dapat ditafsirkan kerana luasnya sebagai laut dalam yang tidak mungkin dapat diselami kerana diri hanya di pinggir kebesaran dan keagungan Allah. Penyair menyedari bahawa sebagai manusia, dirinya ialah musafir, hidup ini sementara sahaja, di bumi Tuhan, dan dalam kehidupan yang sementara ini, walaupun mencari ilmu, tetapi hakikatnya ilmu yang diperolehi itu cuma sedikit, jika dibandingkan dengan ilmu Tuhan yang diibaratkan lautan luasnya. Itulah ibarat atau simbol yang digambarkan oleh penyair.

Shafie menggambarkan keresahannya terhadap Universiti Kebangsaan Malaysia, walaupun pada suatu masa dahulu, desakan supaya universiti ini ditubuhkan sebagai lambang kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, dengan mengadakan pelbagai desakan dan demontrasi dari Jalan Pantai Baru ke Masjid Negara. Sebelum itu, akibat dari peristiwa berdarah 13 Mei, 1969, nasionalis Melayu mendesak kepada pemerintah supaya menubuhkan segera sebuah universiti yang mendaulatkan pengajian bahasa Melayu dalam semua disiplin ilmu, termasuk perubatan dan teknologi. Atas desakan dan kesedaran pemimpin pada masa itu maka tertubuhlah Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 di Jalan Pantai sebelum dipindahkan ke kampus tetapnya di Bangi. Keberanian gologan nasionalis termasuk keberanian Abdul Rahman Yaacob sebagai Menteri Pelajaran pada masa itu walaupun mendapat ancaman dan ugutan dari kaum Cina dan India, satu perjuangan yang sesungguhnya memerlukan keberanian. Di atas keresahan itulah, Shafie berpesan:

Universiti Kebangsaan Malaysia
di tiga dekad usia remaja
dalam melangkah alaf baru
cabaran baru tetap menunggu
globalisasi multi media
percambahan IPT swasta
pengkorporatan yang dipaksa
gugatan ekonomi negara
semuanya janganlah jadi petanda
tergugatnya ideal bangsa
memencilmu ke sudut dunia
biarlah cabaran demi cabaran
di atasi kebijaksanaan demi kebijaksanaan
oleh pemimpin yang datang dan pergi
biarlah dirimu obor zaman
menyemarakkan kenyakinan
cemerlang demi cemerlang
memimpin generasi ke hadapan.

(hal. 2)

Kita tahu, pada tahun 1998, Malaysia menghadapi krisis ekonomi yang teruk, dan dalam masa yang sama kerajaan cuba mengkorporatkan universiti awam, menjadikan anak bangsa menghadapi masalah dalam menampung kos pengajian yang tentunya tinggi, tambahan pula pada masa yang sama percambahan universiti swasta begitu menakutkan kerana bahasa pengantar di universiti ini adalah bahasa Inggeris. Telah diketahui umum, sektor swasta memerlukan graduan yang boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik, malah menjadikan kedudukan bahasa Melayu makin terpinggir. Sebagai contoh, pada tahun 2002, kerajaan telah menukar bahasa pengantar sains dan matamatik dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, walaupun seribu desakan dan bantahan di hantar, kerajaan tidak memperdulikan desakan dan bantahan itu. Kepentingan pribadi pihak pemerintah lebih jelas terbayang dalam agenda politik mereka dengan memberi ruang dan peluang kepada kroni mereka mendapat tender membekalkan pemasangan komputer dan pembinaan bangunan untuk bilik komputer yang bertujuan, katanya, meningkatkan penguasaan ICT dalam pembelajaran sains dan matametik.

Seorang yang berilmu, intelektual, bertutur dengan hikmah, bernas pemikirannya, memberi manfaat hasil pengalaman dan rumusan dapatannya, dan memanusiakan ilmunya, adalah seorang “pujangga”. Seorang pujangga sentiasa gemerlap jiwanya, ada pengikut setianya dan dia memperkayakan khazanah peradaban tamadun insan, dan sentiasa menjadi kemegahan sepanjang zaman. Itulah tanggapan Shafie mengenai pujangga, seperti puisi “Pujangga” berikut:

Wibawanya
lebih dari seorang intelektual
dia menurunkan mutiara kata
tidak terhad atas logik semata
tapi teradun padanya
bernas minda
getaran hati budi
sentuhan pengalaman
rumusan dapatan
memanusiakan.

Pujangga
gemerlap jiwanya
memancarkan ikutan
dia memperkayakan
khazanah peradaban
tamadun insan
kemegahan zaman.

(hal. 10)

Bagi Shafie, ilmu itu terletak pada buku kerana buku mewariskan ilmu, dan di dalam buku terkandung inti budaya insan, tersimpan pustaka alam, menjadi guru dan teman, tetapi buku itu mesti dibaca berterusan. Shafie berbicara tentang “Buku” begini:

Wadah ilmu
resepinya dari
rahsia Tuhan
Zat alam
penerokaan insan
berulam pucuk-pucuk pengalaman
di dalam mangkuk waktu
terhidang di tengah gubahan lambang.

Telah lamalah jasmanimu dikenyangkan
imbangilah dengan makanan rohani
jangan biar kekurusan
jamulah selira akalmu
dengan hidangan intelektual
gubahan cendekia
tak menjemukan
tiap lembaran dibalikkan
adalah pembukaan jendela alam
menghayati kemanusiaan
kagum dan mengasyikkan
membangkitkan rasa cinta
turut meneroka
memberi sumbangan.

Buku
mewariskan ilmu
inti budaya insan
pusaka alam
guru dan teman
bacalah berterusan.

(hal. 33)

Buku itu merupakan wadah ilmu kerana dari bukulah mengandungi resepi dari rahsia Tuhan yang menceritakan segala zat alam yang diterokai oleh insan iaitu manusia yang, kata Shafie berulam dari pucuk-pucuk pengalaman. Pemilihan diksi seperti resepi, rahsia Tuhan, zat alam, penerokaan insan, berulam pucuk-pucuk pengalaman, di dalam mangkuk waktu, terhidang di tengah gubahan lambang mempunyai kekuatan yang tersendiri kerana diksi yang segar dan baru dalam adunan simbol memberi daya fikir dan daya rasa yang menunjukkan bahawa pengarang sentiasa prihatin dalam pengkaryaannya yang kaya dengan sumber ilmu. Buku dilambangkan dengan bacaan. Buku tanpa dibaca, tidak ada manfaat apa-apa yang akan diperolehi darinya. Orang yang bijak, yang berilmu mestilah membaca, dan bacaan yang terbaik ialah buku kerana dalam buku tersimpan khazanah ilmu. Bila seseorang mempunyai ilmu semestinya ia tidak jahil dalam bidang ilmu yang diterokainya. Malah ayat pertama yang diturunkan Allah kepada Muhammad S. a. w. ialah Iqra’ iaitu bacalah. Dari pembacaanlah manusia layak menjadi pemimpin, dan dari bacaan juga manusia boleh menafsir segala macam ilmu yang terkandung dalam penafsirannya, yang luas, yang tidak bertepi sempadannya kerana Tuhan meng anugerahkan manusia dengan akal dan akal adalah komputer yang menfasirkan ilmu, memperluaskan bidang-bidang ilmu yang terkandung di dalamnya.

Shafie melanjutkan tafsirannya, sebagaimana dalam rangkap kedua puisi “Buku” bahawa buku adalah makanan untuk rohani, dan jangan biarkan rohani itu dalam kekurusan, mestilah dijamu supaya selira akal dihidangkan menjadi intelektual. Orang-orang intelektual adalah gubahan golongan cendekiawan kerana mereka ini sentiasa mencintai ilmu dengan setiap lembaran di kertas buku mengandungi rahsia alam dan sekaligus dapat menghayati rasa kemanusiaan. Dari rasa kemanusiaan itulah akan melebarkan rasa cinta menemui segala macam ilmu baru dan akan memberi sumbangan yang amat berharga kepada manusia sejagat.


6.0 Rumusan

Ilmu bagi Shafie, simbol madu, sesuatu yang enak, nikmat, sedap dan mengasyikkan bila diminum. Bagi mereka yang mencintai ilmu dan mencari ilmu, mereka akan mendapat manfaat dalam merialisasikan kehidupan di dunia. Tanpa ilmu manusia berada dalam kegelapan dan kejahilan. Ilmulah yang menyuluh kegelapan dan kejahilan itu. Ilmu juga perlu untuk menjadi khalifah dibumi dan hamba Allah. Sebagai pemimpin, apa yang dipimpin mesti diketahui arah tujuannya. Sebagai hamba, apa yang dipatuhi mesti diketahui sebab musababnya, kalau tidak akan menemui jalan kesesatan atau ikut jalan saitan. Manusia sebagai khalifah di bumi harus berfikir dan pemikiran itu mesti menggunakan ilmu. Ilmu itulah cahaya kehidupan di dunia dan di akhirat. Begitulah pesan Shafie Abu Bakar melalui antologi “Madu Ilmu”. Penemuan dari kajian ini menunjukkan bahawa manusia menggunakan simbol untuk menyampaikan maklumat atau berhubung dengan manusia yang lain. Simbol dianggap sebagai alat komunikasi utama dalam menyampaikan sumber ilmu untuk meningkatkan kesedaran akan hakikat kejadian manusia di atas muka bumi. Dan sesungguhnya manusia melalui ilmulah membolehkan manusia menyedari bahawa dialah khlaifah di muka bumi dan sekaligus sebagai hamba Allah yang semestinya patuh dan taat dengan segala perintahNya. Manusia berada di bumi Tuhan dan berlindung di langit Tuhan, maka sewajarnya manusia harus berterima kasih kepada Tuhan, juga melalui ilmu, iaitu dilambangkan sebagai madu yang lazat dan menyegarkan. Shafie mengukuhkan konsep ilmu menurut perspektif Islam dan ilmu bagi beliau sesuatu yang melambangkan kebijaksanaan atau hikmah jua. Kebijaksanaan itu adalah hikmah, dan hikmah itu adalah ilmu, dan ilmu itu sebagai madu kepada mereka yang menghirup dan menikmati akan kelazatannya.
















Bibliografi

Al Quran Al Karim.
Ahmed Lathiff. 1994. Madu Lebah: Penawar Penyakit Zahir dan Batin. Kuala Lumpur: Darul Nu’man.
Budiono Herusatoto. 1985. Simbolisme dalam Budaya Jawa. Yogyakarta. Pt. Harindita.
Chadwick, C. 1971. Simbolism. Great Britian: Methuen & Co.
Hanafi, M. A. 1976. Pengantar Filsafat Islam. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang.

Haron Daud. 2001. Mantera Melayu: Analisis Pemikiran. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia
Hashim Ismail. 2003. Pemikiran Kaum Muda di Dalam Novel-Novel Melayu Sebelum Perang Dunia Kedua (Tesis Ph. D.), Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Herman J. Waluyo. 1987. Teori dan Apresiasi Puisi. Jakarta: Penerbit Erlangga.

Herman J. Waluyo. 2002. Apresiasi Puisi. Jakarta: Penerbit Gramedia Pustaka Umum.

Muhammad Afandi Yahya. 1995. Simbolisme dalam Seni Bina Rumah Melayu Kelantan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Haji Salleh. 1988. Pengalaman Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Syukri Salleh. 1988. Ilmu dalam Perspektif Islam. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Needham, Joseph. 1954. Science and Civization in China. Jld. 1. Cambridge: Cambridge University Press.
Othman Mohd. Yatim. 1989. Warisan Kesenian dalam Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Safian Hussain et al. 1988. Glosari Istilah Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sariyati Nadjamuddin – Tome, M. S. 2001. Simbol-Simbol dalam Ornamen Biliqu dan Paluwala dlm. Jurnal Pengajian Melayu, Jil. 11. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Shafie Abu Bakar. Madu Ilmu. 1999. Bangi: Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sperber, Dan. 1975. Rethinking Symbilisme. Cambridge: Cambridge University Press.
St. Sunardi. 2002. Semiotika Negativa. Yogyakarta: Kanal.
Syed Muhammad Naquib al Attas. 1995. Islam dan Filsafat Sains. (terj.) Saiful Muzani. Bandung: Penerbit Mizan.

Wellek, Rene dan Austin Warren. 1988. Teori Kesusasteraan (terj.) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Whitehead, A. N. 1959. Symbolism: Its Meaning and Effect. Cambridge: Cambridge University Press.

Tidak ada komentar: